Timbalan presiden parti Keadilan Abdul Rahman Othman melahirkan kebimbangan banyak pihak mengenai kemungkinan campurtangan politik untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal di dalam penjara.

"Rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur esok mengenai hukuman sembilan tahun ke atas Datuk Seri Anwar. Keputusan mahkamah rayuan dijangka memberi kesan kepada rakyat dan masa depan negara," katanya.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan keputusan permohonan ikat jamin Anwar bersama-sama keputusan rayuan kes liwatnya esok.

Anwar sedang menjalani hukuman sembilan tahun penjara di bawah Seksyen 337 B Kanun Seksaan atas dakwaan meliwat bekas pemandunya Azizan Abu Bakar.

Hukuman penjara enam tahun bagi pensabitan kes pertamanya, iaitu salahguna kuasa, tamat pada 14 April lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Rahman berkata: "Kebimbangan banyak pihak ialah tentang campurtangan politik untuk memastikan anwar kekal berada di dalam penjara," tegasnya.

Menurutnya lagi, tempoh empat setengah tahun semenjak Sept 1998 telah banyak memberi pangajaran kepada semua pihak.

Tiada dendam

Malah, katanya, tindakan ke atas Anwar tidak menguntung pihak pemerintah dan Wisma Putra sendiri mengakui pandangan negatif antarabangsa terhadap negara yang berpunca dari pengendalian kes Anwar.

Penyokong Anwar pula, katanya, harus memahami kata-kata bekas timbalan perdana menteri itu bahawa "masa itu adalah penyembuh terbaik dan saya tidak menyimpan sebarang dendam".

"Cabaran tahun 2003 berbeza dengan cabaran tahun 1998. Cabaran semasa menuntut kita untuk menyatukan segala tenaga, membina kesepaduan dan kekuatan negara. Negara menghadapi ancaman kuasa besar yang mahu membina empayar global.

"Tanpa kita sedari konflik global kini menenggelamkan konflik domestik. sikap asyik dengan konflik domestik mengundang risiko yang tinggi ke atas masa depan negara," tegas Abdul Rahman.

Menurut beliau, Anwar yang bebas diyakini mampu menyumbang secara berkesan ke arah kestabilan politik negara dan antarabangsa.

"Akal sihatnya terbukti berupaya memuaskan pihak-pihak yang bertelagah. Kestabilan politik membolehkan negara memainkan peranan berkesan di peringkat antarabangsa.

"Isu keganasan antarabangsa dan ancaman empayar global perlu ditandatangani dengan bijaksana. Anwar bukan keramat tetapi mempunyai rekod yang terbukti," tambahnya.

Oleh itu, katanya, rakyat yakin mahkamah akan bebaskan Anwar kerana mereka mahu beliau kembali segera ke pangkuan masyarakat.

"Tenaga dan kebijaksanaannya diperlukan untuk mengembalikan kewarasan politik dan kecemerlangan ekonomi negara yang akan dapat menyumbang kepada keamanan, kesejahteraan dan perpaduan rakyat," tambahnya.

Keputusan bersejarah

Sementara itu, pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata, krisis dan pergolakan di arena antarabangsa perlu menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia betapa pentingnya perpaduan nasional untuk menghadapi orde baru dunia serta mengubati masalah perpecahan dalam negeri.

Menurutnya, langkah ke arah itu hendaklah "bermula dengan pembebasan Anwar dan membebas aktivis reformasi daripada tahanan (Akta Dalam Negeri)".

Sekiranya Anwar dibebaskan esok, katanya ia merupakan satu keputusan bersejarah yang akan memberi kesan besar terhadap kekuatan politik di negara ini berdasarkan kepada prinsip keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan demokrasi.

"Sudah tibanya untuk membebaskan aktivis reformasi - Mohamad Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Saari Sungib, Lokman Noor Adam, Dr Badrul Amin and Hishamuddin Rais, kerana bukan sahaja majoriti rakyat, tetapi juga Suhakam dan Lembaga Penasihat ISA, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak yakin mereka mengancam keselamatan negara dan perlu ditahan di bawah ISA" tambahnya.