Mahkamah Tinggi akan memutuskan permohonan anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj bagi mendapatkan satu perintah mandamus meminta kerajaan menentukan prosedur dalam pengagihan dana peruntukan khas kawasan pilihan raya, pada 8 Feb ini.

Hakim Datuk Aziah Ali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Datuk S Ambiga yang mewakili Jeyakumar dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi responden, dalam kamarnya hari ini.

Pada 29 Okt lalu, pegawai Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran melakukan semakan kehakiman terhadap kerajaan dan dua yang lain, antaranya, memohon satu deklarasi bahawa peruntukan khas kawasan pilihan raya mesti diberikan kepada semua anggota Parlimen secara saksama, mengikut Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonannya, beliau menamakan Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan Penyelarasan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengarah Kemajuan Negeri Perak (PPN Perak) dan kerajaan sebagai responden.

Beliau mengambil tindakan undang-undang setelah permohonannya kepada pengarah PPN Perak untuk dana yang akan digunakan sebagai sumbangan kepada pojek kecil SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah Anak-Anak Yatim Nurul Ihsan serta dana untuk projek kecil bagi manfaat kampung Orang Asli, ditolak melalui sepucuk surat pada 12 Okt.

Dr Jeyakumar berkata permintaan untuk dana berkenaan sepatutnya diberikan kerana semua projek termasuk dalam jenis peruntukan khas kawasan pilihan raya yang sepatutnya digunakan.

Beliau mendakwa responden berat sebelah dalam menggunakan budi bicara untuk memberi dana daripada peruntukan khas kawasan pilihan raya dengan berpihak kepada anggota parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan bersikap prejudis terhadap anggota parti pembangkang.

Sehubungan itu, beliau memohon satu perintah mandamus untuk memaksa responden menjelaskan autoriti mereka dalam pengagihan dana peruntukan khas kawasan pilihan raya berdasarkan budi bicara dan prosedur mengagihkannya sejak 2008.

Anggota Parlimen itu juga memohon satu writ quo waran dikeluarkan terhadap responden supaya mereka memberi maklumat berhubung autoriti menggunakan budi bicara bagi melulus dan mengagihkan dana persekutuan yang disatukan dan peruntukan khas kawasan pilihan raya.

- Bernama