Persiapan pilihan raya: Najib jumpa MP BN esok
Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pertemuannya dengan ahli parlimen BN esok merupakan salah satu usaha untuk memenangi pilihan raya umum yang bakal diadakan.
"Ini merupakan satu proses transformasi politik yang saya telah nyatakan.
"Semuanya bertujuan ke arah pilihan raya umum sebab kita mahu dipilih semula, kita mahu berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Tambahnya, beliau akan bertemu dengan ahli-ahli parlimen BN itu bagi mengetahui keadaan di kawsan masing-masing.
"Saya perlu beritahu mereka, apa yang perlu dilakukan dan saya perlu tahu pendakangan mereka mengenai keadaan di kawasan mereka," katanya lagi.
Pertemuan berkenaan mengundang spekulasi sebelum ini bahawa Najib akan mengadakan pilihanraya umum bagi mendapat mandat baru.
Pertemuan esok, bermula 9.30 pagi akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.
Pertemuan sulit dengan Agong, PAS
Dalam pada itu, mengulas pertemuan beliau bersama pemimpin PAS dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini, Najib berkata kandungan pertemuan itu tidak dapat didedahkan atas titah Yang di-Pertuan Agong sendiri.
"Saya dan rakan-rakan lain dari pimpinan PAS menghormati jemputan Yang di-Pertuan Agong, sebab itulah kami hadir.
"Kita harus hormati persefahaman mengenai pertemuan itu, dan Yang di-Pertuan Agong mahu supaya ianya satu pertemuan tertutup. Saya hormati permintaan itu," katanya.
Sebelum ini, mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga hadir pada pertemuan itu, turut enggan mengulas tentang hasil pertemuan yang berlangsung di Istana Terengganu, Kuala Lumpur, pada 24 Dis lalu.

