Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KSN: Khusrin kini sah SUK Selangor
Diterbitkan:  Jan 7, 2011 6:25 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Datuk Mohd Khusrin Munawi kini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor baru yang sah dilantik mengikut undang-undang.

NONE "Dia adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran "Pengeluaran Suratan Hak Milik Sementara Dalam Tempoh Satu Hari" di Pejabat Daerah dan Tanah Maran hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu pelantikan itu serta titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu pelantikan Mohd Khusrin tidak disensasikan sehingga mengelirukan rakyat.

Semalam, Mohd Khusrin, yang pelantikannya tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri, mengangkat sumpah taat setia di hadapan Sultan Sharafuddin.  

Mengenai pelancaran Pengeluaran Suratan Hak Milik Sementara Dalam Tempoh Satu Hari, Mohd Sidek berkata sektor swasta juga perlu menambah baik perkhidmatan mereka kepada rakyat bagi membantu kerajaan mempercepatkan sistem penyampaian kepada rakyat dalam usaha untuk membangunkan negara.

"Usaha itu tidak akan berjaya jika hanya jabatan dan agensi kerajaan sahaja yang melaksanakan pelbagai perubahan tetapi pihak swasta seperti bank dan firma guaman lambat memproses pinjaman dan menyediakan surat perjanjian dan sebagainya yang berkaitan dengan urusan berkenaan," katanya.

Beliau berkata usaha Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang yang mampu memproses geran tanah sementara itu membuktikan kerajaan sedang meningkatkan perkhidmatan dan sistem penyampaiannya kepada rakyat.

- Bernama

ADS