Noh rayu terus dasar jaminan bekalan makanan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengemukakan permohonan kepada Kabinet supaya Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara, yang berakhir tahun lepas, diteruskan bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.
Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata kertas cadangan mengenai perkara itu telah siap dan akan dikemukakan kepada kabinet dalam masa terdekat, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru kepada warga kementerian itu di Putrajaya hari ini.
"Bagaimanapun kita tidak boleh memberi jaminan sama ada dasar itu diluluskan atau tidak kerana kita sedia maklum tujuan kita perkenalkan dasar ketika itu untuk membantu petani, nelayan dan penternak mangatasi masalah kos input-input pertanian yang tinggi akibat kenaikan harga minyak.
"Tetapi kita akan merayu kepada kabinet supaya dapat diteruskan dasar ini,"katanya.
Dasar itu yang diwujudkan pada tahun 2008 dan berakhir tahun lepas diwujudkan bagi meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara serta memastikan harga makanan stabil berikutan krisis makanan dunia pada tahun 2008.
Noh berkata di bawah dasar itu sebanyak RM3 bilion diperuntukkan bagi pembangunan pertanian untuk tempoh 2008 hingga 2010.
Sementara itu, beliau berkata kementerian memperuntukkan sebanyak RM2.77 bilion bagi perbelanjaan mengurus untuk tahun ini dengan RM1.2 bilion daripadanya disediakan bagi meningkatkan pengeluaran padi negara yang melibatkan bantuan kepada pesawah padi.
"Bantuan yang diberikan adalah subsidi baja (RM275 juta), subsidi harga padi (RM448 juta), subsidi benih padi sah (RM85 juta), insentif pengeluaran padi (RM150 juta), insentif peningkatan hasil padi (RM40 juta) dan subsidi harga beras (RM400 juta)," katanya.
Katanya kementerian juga memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM400 juta lagi untuk sektor padi supaya bekalannya tidak terjejas ekoran masalah cuaca yang tidak menentu.
Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) kementerian turut diberikan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion dalam tempoh dua tahun (2011-2012) daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk pelaksanaan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pertanian.
"Sebanyak RM821.4 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi melaksanakan 11 projek antaranya membangunkan Zon Akuakultur Bersepadu berskala besar, meningkatkan produktiviti pengeluaran padi, meningkatkan integrasi ternakan dengan kelapa sawit," katanya.
Dalam perkembangan lain, Noh berkata kira-kira RM2 juta peruntukan akan diberikan kepada penternak yang terjejas akibat wabak penyakit kuku dan mulut (FMD).
Katanya ketika ini kementerian masih meneliti penternak yang layak menerima bantuan sebelum diserahkan bantuan itu dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin mengesahkan wabak FMD yang menyerang ternakan lembu tenusu, telah dikesan di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz berkata wabak itu dalam keadaan terkawal.
--Bernama

