Wartawan dihalang buat liputan perasmian mesyuarat Umno
Para wartawan dari media arus perdana dihalang daripada memasuki dewan untuk majlis perasmikan mesyuarat perwakilan Bahagian Kulim/Bandar Baharu pagi tadi.
Beberapa orang petugas dipercayai dari urusetia mesyuarat itu, melarang wakil Bernama , Utusan Malaysia dan jurukamera RTM daripada memasuki dewan untuk majlis perasmian.

Menurut laporan Bernama , petugas memberitahu para wartawan bahawa mereka bertindak demikian atas arahan "dari pihak atas."
Mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu itu dirasmikan sendiri oleh Ketua Bahagiannya Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir, yang juga Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain berkata Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah tiada masalah membenarkan wakil media untuk membuat liputan perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian-bahagian yang berlangsung sekarang.
Beliau yang juga pengerusi badan itu berkata, sejak dulu lagi wartawan dibolehkan hadir dan membuat liputan majlis perasmian mesyuarat-mesyuarat Umno.
Tidak bijak
Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Alor Star hari ini, beliau berkata, majlis perasmian adalah terbuka dan sesiapa pun boleh hadir tetapi perjalanan adalah tertutup.
Syed Razak berkata, beliau tidak pasti apa yang berlaku di mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu itu.
Bagaimanapun, katanya, tindakan menghalang wartawan daripada membuat liputan majlis perasmian adalah satu langkah yang tidak bijak.
Katanya, wartawan hadir untuk membuat liputan terhadap ucapan pemimpin-pemimpin yang merasmikan mesyuarat tersebut, dan bukannya untuk membuat laporan perjalanan mesyuarat terbabit.