Raja Nazrin: Melayu jangan cepat melatah
Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah mengingatkan orang Melayu supaya jangan terlalu cepat melatah dan terbawa-bawa dengan agenda sulit serta terselindung yang mahu menghapuskan warisan bangsa, lapor Berita Harian Online .
Baginda bertitah, orang Melayu yang mempunyai sifat demikian biasanya bersedia diperalatkan untuk membunuh warisan bangsanya sendiri.
Untuk itu, titahnya, usaha memastikan tulisan jawi terus hidup dan tidak pupus adalah satu perjuangan bangsa kerana ia sebahagian dari khazanah bangsa yang wajib dikekalkan, diberikan keutamaan dan dipertahankan selagi Melayu tidak hilang di dunia.
"Keupayaan membaca dan menulis jawi juga mempunyai kaitan penting dengan penghayatan terhadap agama Islam. Al-Quran, Hadis Nabi dan kitab-kitab utama agama Islam adalah dalam tulisan jawi.
"Ketidakupayaan umat Islam untuk menguasai tulisan jawi dibimbangkan akan menjauhkan mereka dari sumber dan naskah asal khazanah ilmu hasil karya pujangga dan ilmuwan Islam," titahnya ketika merasmikan Persidangan Ke-174 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh, semalam.

