MIC yakin mampu menarik lebih daripada 80 peratus sokongan pengundi masyarakat India pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang 30 Jan ini.

NONE Pengerusi MIC Johor Datuk KS Balakrishnan berkata pendekatan menyelesaikan masalah rakyat yang dilakukan oleh parti itu telah berjaya menarik pengundi.

"Sejak daripada pilihan raya umum 2008, jentera MIC Johor bergerak ke seluruh negeri mencari dan menyelesaikan permasalahan masyarakat India dan ini mendekatkan kita dengan masyarakat," katanya pada program menyelesaikan masalah rakyat yang disertai pelbagai agensi kerajaan di Pejabat MIC Labis.

Lebih 400 anggota masyarakat India dari kawasan Labis hadir menyebabkan pejabat itu penuh sesak.

Antara agensi kerajaan yang terbabit dalam program itu ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Jabatan Pendaftaran Negara, dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

NONE Katanya, kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman amat proaktif dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat India seperti dalam soal tanah untuk kuil, infrastruktur sekolah Tamil dan kegiatan ekonomi.

Satu contoh terbaik, katanya, ialah di Kampung Veeran di Labis di mana 14 keluarga di situ terpaksa dipindahkan kerana tanah yang didiami mereka akan diambil oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad bagi projek pembinaan landasan berkembar, tetapi Menteri Besar dalam lawatan kerjanya ke Labis dua bulan lalu, berjanji untuk menyelesaikan masalah mereka dengan menyediakan tanah lot gantian kepada mereka.

"Dan hari ini semua 14 keluarga yang terjejas itu akan menyerahkan dokumen lengkap kepada Pejabat Tanah Daerah bagi mendapatkan tanah lot gantian itu. Ia amat menggembirakan mereka," katanya.

NONE Sementara itu, Setiausaha Kerja MIC Johor A Asojan berkata, majlis menyelesaikan masalah pada hari ini mendapat sambutan amat baik.

MIC Johor mengadakan program serupa di Ladang Voules, Labis pada 3 Jan lalu yang turut mendapat sambutan baik.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada BN pada 17 Dis lalu. Penamaan calon ialah pada 22 Jan ini.

Tenang mempunyai 1,780 pengundi keturunan India daripada sejumlah 14,753 pengundi di situ.

- Bernama