Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puteri desak serius tangani buang bayi
Diterbitkan:  Jan 17, 2011 3:53 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Pergerakan Puteri Umno Sabah mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan lebih serius dalam menangani isu pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini.

Ketuanya Musliati Moslimin berkata lima kes pembuangan bayi yang dilaporkan sejak 1 Jan lepas di Sabah sahaja membayangkan masalah itu kini berada di tahap kronik sehingga memerlukan penggemblengan tenaga daripada semua pihak.

"Kita berasa amat sedih. Dalam keadaan kita semua bercakap mengenai perkara itu termasuk hebahan dan siaran di media massa, kes pembuangan bayi terus berlaku sehingga hampir setiap hari.

"Sebab itu, kita mendesak pihak bertanggungjawab agar melaksanakan program membasmi masalah ini dengan lebih berkesan dan bukan sekadar dilakukan secara melepaskan batuk di tangga sahaja," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Lima kes membabitkan penemuan mayat bayi di Gayang, Tuaran, dua janin di Pusat Comercial Salut, satu janin ditemui terapung di laut berhampiran Kampung Sing Kee di Tanah Merah, Sandakan dan satu janin kawasan Taman Perumahan Che Mei, Lido di Penampang.

Sejak 2005 hingga Mac 2010, statistik polis merekodkan 75 kes pembuangan bayi di negeri ini, dan daripada jumlah itu, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 25 kes, diikuti Tawau (14 kes) dan Sandakan (sembilan kes).

Musliati berkata masalah itu semakin kritikal dan memerlukan semua pihak memberi sumbangan bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

“Tanggungjawab mencegah pembuangan bayi bukan harus dipikul oleh kerajaan semata-mata tetapi juga masyarakat keseluruhan yang boleh memainkan peranan dengan memantau aktiviti di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh jangka bila dan di mana pihak yang tidak bertanggungjawab akan berbuat demikian," katanya.

Musliati turut meluahkan rasa bimbang gejala itu akan membawa imej negatif kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam jika ia tidak ditangani segera.

Beliau menyambut baik tindakan kerajaan menjadikan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes membunuh, suatu keputusan yang wajar dan kena pada masanya.

"Kita tidak mahu isu pembuangan bayi menjadi satu budaya kerana perbuatan itu bukan sahaja amat hina tetapi yang lebih malang melibatkan nyawa bayi yang langsung tidak berdosa," katanya.

--Bernama

ADS