Khidmat Negara tawar Sikh jadi jurulatih
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengalu-alukan individu beragama Sikh untuk menjadi jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di semua kem di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata pihaknya bersikap terbuka untuk menerima calon dari agama itu jika mereka mempunyai potensi dan memenuhi syarat kelayakan.
"Ini adalah satu langkah untuk meningkatkan penyertaan kaum Sikh dalam PLKN. Kalau sebelum ini kita mempunyai jurulatih dari tiga kaum terbesar di Malaysia... jadi bila ada kaum lain menyertai kita, ini akan menyemarakkan lagi semangat 1 Malaysia dalam program latihan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil dari Union of Perak Sikh Organisation, Sikh Walfare Society dan Malaysia Sikh Union.
Abdul Hadi berkata kehadiran jurulatih yang mempunyai pengetahuan berhubung sesuatu agama itu akan turut memberi nilai tambah kepada modul program yang sedia ada.
"Dalam PLKN, kita mempunyai modul integrasi yang mengajar pelatih tentang nilai moral dan agama. Namun adanya jurulatih yang pakar dalam sesuatu bidang agama itu, ia dapat memberi nilai tambah pada modul yang sedia ada.
"Contohnya bila ada jurulatih dari agama Sikh, mereka boleh duduk bersama dan membicarakan soal agama serta bersembahyang bersama-sama dengan pelatih-pelatih Sikh ini," katanya.
Mengulas mengenai pertemuan dengan tiga pertubuhan itu, Abdul Hadi berkata selain membincangkan mengenai penyertaan komuniti Sikh dalam PLKN, pihaknya juga bersetuju membenarkan pertubuhan terbabit mengadakan lawatan ke kem-kem PLKN.
"Pertubuhan mahukan proses maklum balas serta timbal balik antara pelatih dan juga jurulatih beragama Sikh dibuat.
"Kita telah bersetuju dan mereka boleh memilih mana-mana kem untuk mereka lawat, sekali gus berjumpa secara bersemuka untuk mengetahui masalah pelatih-pelatih Sikh di sini," kata Abdul Hadi.
Katanya melalui cara itu pelbagai perkara dan pandangan negatif dapat dikekang dan dielakkan sepanjang pelatih mengikuti pogram itu.
"Kita nak elakkan pandangan serong serta tidak mahu wujud lagi perkara negatif yang menimpa pelatih di sini seperti kes potong rambut yang terjadi pada pelatih Sikh di kem Sungai Bakap baru-baru ini," katanya.
Remaja lelaki terbabit, Basant Singh, 18, mendakwa rambutnya dipotong semasa sedang tidur di Kem PLKN Sungai Bakap, Pulau Pinang, Ahad lepas.
Susulan itu, Abdul Hadi berkata pihaknya telah menyerahkan perkara itu kepada polis untuk membuat siasatan lanjut dan mengumumkan hasil siasatan kepada umum.
--Bernama

