1.4 juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan
Plus Expressways Bhd menjangkakan kira-kira 1.4 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ketika musim perayaan Tahun Baru Cina, yang disambut pada 3 dan 4 Februari ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid, berkata jumlah itu dianggarkan meningkat 30 peratus berbanding 1.1 juta kenderaan yang menggunakan PLUS pada hari biasa.
"Peningkatan ini akan bermula pada 29 Januari berikutan orang ramai mengambil kesempatan untuk balik ke kampung," katanya pada majlis pelancaran nasihat waktu perjalanan (TTA) pergi dan balik sempena perayaan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya Jadual TTA, yang bermula pada Sabtu ini hingga 2 Februari, mencadangkan pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke Utara Kedah dan Perlis serta Selatan Skudai dan Johor Bahru di Johor supaya memulakan perjalanan sebelum 11 pagi.
Bagi pengguna yang menuju ke Pulau Pinang, Taiping dan Changkat Jering, Perak serta perjalanan ke Selatan di Tangkak, Yong Peng dan Ayer Hitam di Johor pula, mereka dinasihatkan untuk memulakan perjalanan di antara 11 pagi dan 4 petang.
- Bernama

