Polis Kelantan telah ditugaskan untuk mendapatkan keterangan daripada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaannya bahawa polis membawa masuk maksiat ke Terengganu dan melindungi pihak terbabit.

Bernama

memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Abdul Rahim Jani, sebagai berkata, pihak polis telah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya Kelantan untuk menyiasat kes berkenaan dan siasatan telah mula dijalankan.

"Polis Kelantan telah diberi tanggungjawab untuk menyiasat kes ini dan kita akan membuat temu janji dengan Menteri Besar Terengganu untuk merakamkan percakapannya," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Ketika berceramah di Machang, Kelantan Jumaat lalu, Abdul Hadi, yang juga Pemangku Presiden PAS, dilaporkan telah menuduh polis Terengganu membawa masuk maksiat ke negeri itu dan cuba melindungi pihak terbabit.

Berikutan itu,bekas Ketua Polis Terengganu, DCP Othman Talib, telah membuat laporan polis keesokannya berhubung dakwaan Abdul Hadi itu.

Othman juga dilaporkan bercadang untuk mengambil tindakan saman fitnah RM1 juta ke atas Abdul Hadi kerana memfitnahnya dan pasukan polis negeri itu.

Beri keterangan

Menurut Abdul Rahim lagi, pihak polis akan mula memanggil beberapa saksi untuk dirakamkan percakapan mereka mulai hari ini.

Katanya, mereka yang akan dipanggil itu termasuklah beberapa wartawan akhbar tempatan yang membuat liputan ceramah Abdul Hadi itu.

Beliau berkata polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap Abdul Hadi tampil memberikan maklumat supaya siasatan dapat dijalankan.

Katanya, tidak ada gunanya perkara itu didebatkan sehingga berlaku cabar mencabar dalam akhbar kerana ia tidak membantu menyelesaikan isu tersebut.

Menurut Abdullah, jika benar Menteri Besar Terengganu mempunyai bukti bahawa polis di negeri itu melindungi kegiatan maksiat, beliau akan menghantar seorang pegawai tinggi polis dari Bukit Aman untuk menemui Abdul Hadi untuk mendapatkan maklumat bagi diadakan siasatan.