Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam M. Nor, menafikan Timbalan Presiden parti itu, Dr Chandra Muzaffar, meletakkan jawatan. Ezam juga menafikan ada paksaan tertentu dari mana-mana pihak ke atas Dr Chandra agar melepaskan jawatan nombor dua dalam parti itu. Dr Chandra hanya meminta pandangan pemimpin-pemimpin parti sama ada beliau wajar atau tidak menerima tawaran dari sebuah pertubuhan antarabangsa, jelas Ezam lagi.

Semalam, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini , Chandra menafikan pernah menghantar surat perletakan jawatan seperti disangka oleh banyak pihak sejak timbulnya isu tersebut. Ezam turut menegaskan hal yang sama kepada malaysiakini selepas menghadiri satu majlis penilaian pilihan raya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, satu sumber yang rapat dengan parti itu menjelaskan bahawa surat perletakan jawatan itu sudah dihantar sebelum hari pilihan raya lagi. Tetapi keputusan sama ada mahu menerimanya belum diambil. Sumber itu hari ini menyebutkan Chandra mungkin menarik kembali keputusannya untuk melepaskan jawatannya.

Pemimpin-pemimpin utama parti itu setakat ini tidak memberi sebarang kenyataan berhubung hal ini.

[#1]Malaysiakini[/#]

pernah melaporkan Chandra akan meninggalkan parti itu. Beliau sudah menyatakan hasratnya itu kepada pucuk kepimpinan parti dalam satu mesyuarat selepas pilihanraya umum lalu. Pemimpin nombor dua KeADILan itu mempertimbangkan hasratnya untuk kembali aktif dalam bidang akademik dan melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela.