Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Kejayaan BN bukan sementara atau sekelip mata
Diterbitkan:  Jan 30, 2011 11:53 PM
Dikemaskini: 5:56 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kejayaan BN mengekalkan DUN Tenang akan menjadi dorongan kuat kepada BN di negeri lain untuk membuat persediaan bagi meraih kejayaan lebih besar di masa depan.

       

Perdana menteri dan pengerusi BN itu melahirkan penghargaan kepada pengundi DUN Tenang kerana terus memberi kepercayaan dan keyakinan kepada BN untuk mewakili mereka.

    

"Walaupun kita hadapi tentangan agak hebat daripada jentera pembangkang, tetapi kemenangan itu jelas menunjukkan bahawa segala isu yang dilemparkan mereka tidak diterima oleh pengundi di Tenang," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke Malaysia di akhir lawatan kerja sehari ke Abu Dhabi.

    

Calon BN Mohd Azahar Ibrahim memang dengan majoriti 3,707 dengan mengalahkan calon PAS Normala Sudirman. Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi manakala Normala meraih 2,992 undi.

Menurut Najib, kejayaan BN pada pilihan raya kecil yang berlangsung sejak kebelakangan ini menunjukkan ia bukanlah kejayaan sementara atau sekelip mata, memandangkan ia dapat diterjemahkan di beberapa negeri berasingan.

    

"Kejayaan ini menunjukkan bahawa momentum yang telah dicapai oleh BN melalui beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, menunjukkan trend dan momentum ini berterusan di Tenang pada kali ini," katanya.

    

Beliau menganggap trend peningkatan sokongan kepada BN "boleh dikatakan semakin menyeluruh dan semakin mantap".

    

Najib berkata pengundi Tenang telah membuat keputusan bijak dan matang, yang menunjukkan mereka mementingkan masa depan kawasan mereka dan negara secara keseluruhan.

    

"Ini jelas menunjukkan tahap keyakinan mereka terhadap BN semakin kukuh, dan ini memberi kita semangat yang lebih untuk bekerja dengan lebih gigih lagi untuk kepentingan rakyat," jelas beliau.

    

"Saya selalu tekankan apa sahaja yang kita buat, kita perlu dahulukan kepentingan rakyat. Dan apabila kita mendahulukan kepentingan rakyat, rakyat

akan membalas balik usaha kita dengan memberi sokongan yang lebih padu kepada BN," tegas Perdana Mnteri.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata kemenangan BN di Tenang dengan majoriti lebih tinggi

merupakan bukti rakyat menerima kepimpinan Najib.

Katanya, dasar yang dilaksanakan kerajaan pimpinan perdana menteri telah diterima baik oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

    

"Ia adalah kemenangan yang membuktikan penerimaan rakyat pelbagai kaum terhadap kepimpinan perdana menteri dan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman di negeri ini.

    

"Dasar-dasar oleh Perdana Menteri seperti Gagasan 1Malaysia, GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan ETP (Program Transformasi Ekonomi) telah disambut dengan baik oleh rakyat semua kaum," katanya dalam sidang akhbar selepas calon BN diumumkan memenangi pilihan raya itu di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis malam ini.

- Bernama

   

ADS