Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR perbetul kenyataan Gobala
Diterbitkan:  Feb 1, 2011 1:51 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

PKR hari ini memperbetulkan laporan sebuah portal berita yang menyebut 40 peratus ahli parti itu adalah kaum India serta kenyataan ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan bahawa 90 peratus pimpinan PKR adalah Melayu.

Dalam kenyataan hari ini, pengarah komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, daripada 371,612 ahli PKR, 45 peratus adalah Melayu, Cina 11 peratus, India 23 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula sebanyak 21 peratus.

Manakala Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2010-2013 terdiri daripada Melayu 62 peratus, Cina 20 peratus, India 12 peratus dan Bumiputera Sabah, Sarawak serta lain-lain 4 peratus.

Hakikatnya, tegas Nik Nazmi,  majoriti besar pimpinan PKR dipilih menerusi sistem satu ahli satu undi, dan ahli PKR "jelas meletakkan kebolehan, keupayaan serta komitmen kepada perjuangan mengatasi sebarang perkiraan perkauman".

"Justeru, amat sesuai sekali pemimpin seperti Gobala yang masih lagi terperangkap dengan mentaliti lapuk untuk keluar parti," katanya.

Rakyat, tegas Nik Nazmi, akan menilainya dalam pilihan raya umum akan datang dan PKR sebagai parti  politik pelbagai kaum yang progresif akan terus bergerak ke hadapan.

Katanya, ahli parlimen Padang Serai itu - yang mengumumkan keluar PKR baru-baru ini - telah menuduh berkali-kali bahawa PKR meminggirkan masyarakat India.

Sebelum ini, tambahnya, ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin menuduh PKR mengabaikan masyarakat Melayu.

"Tuduhan-tuduhan bercanggah ini membuktikan bahawa pemimpin yang masih terperangkap dengan mentaliti perkauman tidak sesuai berada di dalam Keadilan yang merupakan parti politik pelbagai kaum yang progresif.

"Ramai pimpinan Keadilan telah menjawab tuduhan Gobala secara spesifik dan menafikan dakwaannya bahawa Keadilan meminggirkan masyarakat India.

"Masyarakat sendiri dapat menilai dakwaannya hanya terbit selepas beliau kalah dalam pemilihan dan tidak dilantik menjadi naib presiden parti," tegasnya.

ADS