Musa bayang pilihanraya Sabah semakin hampir
Ketua Menteri Datuk Musa Aman hari ini membayangkan pilihanraya negeri semakin hampir mestipun tempoh Dewan Undangan Negeri Sabah hanya berakhir pada Mac tahun depan.
Menurutnya, jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) negeri bersedia menghadapi pilihanraya "pada bila-bila masa" dan yakin BN mampu menyapu bersih kesemua 60 kerusi yang dipertandingkan.
Ketua Menteri Datuk Musa Aman hari ini membayangkan pilihanraya negeri semakin hampir mestipun tempoh Dewan Undangan Negeri Sabah hanya berakhir pada Mac tahun depan.
Menurutnya, jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) negeri bersedia menghadapi pilihanraya "pada bila-bila masa" dan yakin BN mampu menyapu bersih kesemua 60 kerusi yang dipertandingkan.
Bernama
memetik Musa yang juga pengerusi BN negeri, sebagai berkata, pihaknya hanya menunggu keputusan pucuk pimpinan parti."Apa yang perlu dibincangkan bersama ialah kebaikan mengadakan pilihanraya negeri lebih awal atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah pendidikan Shell, di Kota Kinabalu hari ini.
Ditanya sama ada pilihanraya negeri akan diadakan serentak dengan pilihanraya umum, Musa berkata perkara itu belum diputuskan lagi.
Mengenai perbincangan sewaktu pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur semalam, Musa berkata: "Ya, kita ada bincang pasal pilihanraya juga tetapi kita tidak tetapkan bila (tarikh) pilihanraya negeri itu akan diadakan".
Tiada masalah
Ditanya mengenai keputusan tiga parti pembangkang tempatan membentuk "pakatan" bagi menentang BN dalam pilihanraya negeri akan datang, Musa berkata, mereka berhak berbuat demikian.
"Itu hak mereka...biarlah mereka syok sendiri. Kita tahu bahawa kita dalam BN sentiasa bersatu dan bekerjasama serta bekerja keras bagi menghadapi pilihanraya.
"Bagi BN, kita tidak mempunyai masalah dan kita yakin akan memperolehi kemenangan yang besar atau cemerlang," tambahnya.
Menurut Musa, pakatan itu tidak akan menimbulkan masalah atau ancaman kepada BN untuk memenangi kesemua 60 kerusi dalam pilihanraya itu.
Namun begitu, beliau menasihatkan semua ahli komponen BN negeri supaya tidak leka dan lalai, sebaliknya berusaha memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat yang selama ini memberi sokongan padu kepada BN.
Semalam, tiga parti pembangkang tempatan -- Parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (Bersekutu), Pertubuhan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (Pasok) dan Parti Setia -- bersetuju membentuk pakatan bagi menghadapi pilihanraya negeri yang akan datang.
Pakatan pembangkang
Menurut presiden Bersekutu, Berman Angkap, ketetapan itu dibuat oleh ketiga-tiga parti pembangkang baru-baru ini. Mereka juga merayu parti pembangkang yang berpusat di Semenanjung termasuk parti Keadilan dan DAP supaya menyertai gagasan pembangkang itu.
Ditanya sama ada persediaan awal yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk pilihanraya negeri Sabah membayangkan SPR sudah menerima lampu hijau, Musa berkata perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan pemimpin pusat.
Pada 28 April lalu, Setiausaha SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya telah mula membuat persedian bagi menghadapi pilihanraya negeri, dengan mengenalpasti 60 pegawai pengurus dan 66 penolong pengurus pilihanraya bagi mengendalikan pilihanraya itu.
Seramai 758,783 pengundi berdaftar di Sabah, telah diwartakan Sehingga 30 April lalu, bertambah lebih 30,000 berbanding 726,690 pengundi dalam pilihanraya negeri 1999.

