Hishamuddin berkebun dengan penyapu dan raket pingpong
Hasil titik Hishammudin Rais mengusahakan kebun sayurannya di Kem Tahanan Kamunting, dengan menggunakan kayu penyapu untuk membajak dan raket pingpong pula dijadikan cangkul, kini hanya tinggal kenangan.
"Terong belanda telah saya pelihara selama dua tahun. Betik saya telah boleh dimakan buahnya. Kangkong saya sering menjadi perencah mi segera," katanya dalam sepucuk surat yang diperolehi oleh malaysiakini .
Bagaimanapun, surat ini dipercayai ditulis Hisham sebelum berlakunya kejadian beliau dan seorang lagi tahanan Akta Keselamatan Dalan negeri (ISA) Tian Chua dibelasah oleh kakitangan keselamatan di Kem Tahanan Kemunting baru-baru ini.
Hasil titik Hishammudin Rais mengusahakan kebun sayurannya di Kem Tahanan Kamunting, dengan menggunakan kayu penyapu untuk membajak dan raket pingpong pula dijadikan cangkul, kini hanya tinggal kenangan.
"Terong belanda telah saya pelihara selama dua tahun. Betik saya telah boleh dimakan buahnya. Kangkong saya sering menjadi perencah mi segera," katanya dalam sepucuk surat yang diperolehi oleh malaysiakini .
Bagaimanapun, surat ini dipercayai ditulis Hisham sebelum berlakunya kejadian beliau dan seorang lagi tahanan Akta Keselamatan Dalan negeri (ISA) Tian Chua dibelasah oleh kakitangan keselamatan di Kem Tahanan Kemunting baru-baru ini.
Menurut surat Hisham lagi, selain ditanam dengan terong belanda dan betik, kebunnya juga ditanam dengan lengkuas, pandan, pokok ulam raja, halia, kangkong, pegaga gengko, rumpunan daun selom dan kesum.
Bagaimanapun, semua itu musnah dalam sekelip mata apabila semua tanamannya dimusnahkan sewaktu beliau dibawa ke mahakmah di Kuala Lumpur.
"Semuanya dimusnahkan...termasuk sepokok nangka bonsai dan dua pokok mangga bonsai yang sering saya ambil pucuknya untuk dijadikan ulam. Semuanya dimusnahkan," tegas Hisham lagi.
Kayu penyapu
"Saya diberitahu 'operasi kebun' ini telah dilakukan dengan licik. Sembilan banduan telah didatangkan. Dan ia dilakukan semasa saya di Kuala Lumpur. Dalam masa 30 minit, semuanya dimusnahkan," tegasnya.
Ketika mengimbas kembali usaha titik peluhnya mengusahakan kebun sayurannya itu, Hisham berkata: "Bila saja hujan turun, saya akan 'membajak' tanah dengan kayu penyapu. Kemudian saya menggunakan raket pingpong untuk dijadikan cangkul.
"Untuk baja, saya kumpulkan lebihan makanan yang dibungkus bersama rumput-rampai di dalam beg plastik, dicampur sedikit air - dalam satu atau dua bulan, baja kompos saya siap," ceritanya lagi.
Dalam kejadian itu, katanya, tiga pokok betiknya ditebang, manakala tiga rumpun lengkuas, tiga rumpun pandan, sebatang pokok ulam raja, serumpun halia, selopak kangkong, pegaga gengko, dua rumpun daun kesum turut dimusnahkan.
"Saya tidak dapat melihat rasional pihak kem. Saya sedar ramai pegawai di kem ini yang 'kurang cerdik', kerana itulah mereka berkerja di kem penjara - malas berkerja dan takut untuk merompak - inilah moto hidup mereka," katanya.
Berikutan kejadian itu, kata Hisham, mereka meminta komandan kem datang ke blok kami untuk berbincang di mana kes pemaksaan ke atas Dr Badrul dan pemusnahan kebun saya menjadi agenda utama.
Kawasan bebas
Bagaimanapun, katanya, komandan kem tersebut enggan bertemu kami di blok mereka, lalu mereka mengambil keputusan tidak akan masuk ke dalam blok. Blok dikunci jam 7 malam dan dibuka jam 7 pagi.
"Semasa saya menulis ini, saya berada di luar blok - di bilik pingpong. Jam hampir pukul 11 malam. Pintu blok kami terbuka luas. Kami keluar masuk sekehendak hati. Hakikatnya blok 2B adalah kawasan bebas.
"Untuk pertama kali setelah dua tahun, barulah kami dapat melihat bulan di waktu malam. Kami juga dapat melihat gelap. Dan pagi tadi sebelum azan, saya sempat melihat fajar subuh.
"Untuk orang yang bebas mungkin semua ini satu kebiasaan, tapi untuk kami yang ditahan, melihat bulan di malam hari adalah nikmat," tegas Hisham.
Tian Chua dan Hishamuddin adalah antara enam aktivis reformasi yang ditahan pada April 2001 kerana didakwa merancang untuk mengguling kerajaan secara kekerasan. Bagaimanapun, mereka menafikan tuduhan itu.
Mereka, kecuali ketua Pemuda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor, sepatutnya dibebaskan bulan depan apabila tempoh tahanan dua tahun ke atas mereka berakhir. Bagaimanapun, kerajaan mempunyai hak untuk melanjutkan tempoh tahanan mereka.
Komputer
Mohd Ezam kini sedang menjalani
hukuman
dua tahun penjara di Penjara Kajang selepas didapati bersalah mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan kepada media, dokumen-dokumen rahsia berhubung siasatan terhadap kes rasuah.
Dilaporkan Tian Chua and Hishamuddin telah dibelasah oleh kira-kira 30 kakitangan keselamatan sewaktu mereka ke bilik Tian Chua untuk merampas sebuah komputer.
Tian Chua dikatakan telah membawa balik komputer itu ke biliknya tanpa kebenaran, untuk menyediakan tesis untuk pengajian peringkat doktor falsafah. Bagaimanapun, Tian Chua mendakwa beliau telah diberi kebenaran untuk menggunakan komputer tersebut.
Dalam kejadian itu, Hishamuddin dilaporkan telah digari. Dia kemudiannya dimasukkan ke bilik gelap selama sejam apabila beliau menjerit supaya meminta kakitangan keselamtan berkenaan membebaskan Tian Chua.
Bagaimanapun, komandan kem tersebut, Abdul Basir Mohamad menafikan kejadian itu dan menyifatkan apa yang berlaku adalah perkara biasa apabila pemeriksaan rutin dilakukan ke atas bilik tahanan.

