Suruhanjaya Siasatan kes kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas kepada anggota exco kerajaan negeri Selangor, akan memulakan sidang pertamanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di Kuala Lumpur, esok.

Sidang pertama suruhanjaya itu, yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen, bakal menentukan bilangan saksi serta sejauh mana siasatan akan berlangsung.

Suruhanjaya Siasatan itu dijangka memanggil saksi pertama selepas menyatakan keputusan terhadap permohonanan keluarga Beng Hock yang diwakili peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo supaya mereka dibenarkan untuk menyoal saksi seperti mana inkues sebelum ini di Shah Alam.

Suruhanjaya itu akan juga membuat keputusan di atas pandangan Karpal bahawa sekiranya prosiding dimulakan ia akan menimbulkan ”konflik penemuan” berikutan Peguam Negara telah mengemukakan semakan kehakiman terhadap keputusan Koroner dalam inkues Beng Hock yang lalu.

Permohonan semakan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis ini.

Suruhanjaya itu turut dianggotai dua bekas hakim dan dua pakar forensik, dibantu oleh empat pegawai undang-undang.

 - Bernama