Kes pukul pelajar Jordan: Hadi hantar surat tuntutan kepada Utusan
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menghantar surat tuntutan kepada akhbar
Utusan Malaysia
supaya memohon maaf kepadanya kerana menuduh beliau sebagai punca perselisihan faham di antara pelajar Malaysia di Jordan November lalu.
Peguam Fariz Irwan Mustafa memberitahu malaysiakini bahawa surat tuntutan bertarikh 15 Jan. telahpun dihantar kepada Utusan Malaysia berhubung artikel berkenaan yang disiarkan pada 18 Nov lalu.
"Kami meminta akhbar itu menarik balik laporan tersebut dan meminta maaf kepada anak guam kami dalam pada masa tujuh hari selepas menerima surat tuntutan tersebut. Kami juga memberi notis akan memfailkan notis saman malu jika mereka gagal berbuat demikian," katanya.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menghantar surat tuntutan kepada akhbar
Utusan Malaysia
supaya memohon maaf kepadanya kerana menuduh beliau sebagai punca perselisihan faham di antara pelajar Malaysia di Jordan November lalu.
Peguam Fariz Irwan Mustafa memberitahu malaysiakini bahawa surat tuntutan bertarikh 15 Jan. telahpun dihantar kepada Utusan Malaysia berhubung artikel berkenaan yang disiarkan pada 18 Nov lalu.
"Kami meminta akhbar itu menarik balik laporan tersebut dan meminta maaf kepada anak guam kami dalam pada masa tujuh hari selepas menerima surat tuntutan tersebut. Kami juga memberi notis akan memfailkan notis saman malu jika mereka gagal berbuat demikian," katanya.
Menurutnya, pihak Utusan telahpun membalas surat tuntutan melalui surat bertarikh 28 Februari, menyatakan mereka tidak akan menarik balik artikel tersebut ataupun menyiarkan notis permohonan maaf.
"Saya telahpun memberitahu perkara itu kepada Menteri Besar dan kami sedang menunggu arahan tindakan lanjutan. Kemungkinan besar kami akan memfailkan saman malu di Mahkamah Tinggi Malaya," kata Fariz ketika dihubungi hari ini.
Pada November lalu, Utusan Malaysia melaporkan tentang aduan pelajar Malaysia di Universiti Mu'tah, Jordan, Amir Shakrizat Azizan yang mendakwa beliau dibelasah oleh sekumpulan pelajar pada malam 15 Nov lalu, selepas mengikuti ceramah oleh Abdul Hadi di sana.
Tuntut maaf
Akhbar tersebut turut melaporkan kenyataan bapa Amir, Azizan Mohd Ismail yang menggesa Abdul Hadi supaya bertanggungjawab terhadap kejadian itu kerana beliau yakin ceramah pemimpin PAS itu berunsur provokasi sehingga mencetuskan pergaduhan itu.
Dakwaan Amir dan bapanya itu telah dinafikan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan, Salman Zainal Abidin yang mendakwa perselisihan faham di antara Amir dan sekumpulan pelajar dari Terengganu itu, tiada kena mengena dengan pemimpin PAS tersebut.
Abdul Hadi juga turut menafikan sebarang kaitan dengan pergaduhan tersebut dan menuntut maaf dari mereka yang membuat tuduhan tersebut.
Fariz juga berkata surat tuntutan yang sama telahpun dihantar kepada Azizan (bapa Amir) atas kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar berkenaan.
"Bagaimanapun, kami langsung tidak mendapat apa-apa balasan dari pihaknya. Seperti kes terhadap Utusan Malaysia , kami hanya menunggu arahan dari mentri besar. Draf saman malu hampir siap," katanya.
Mengenai kes mahkamah di Jordan di mana Amir telah memfailkan tuntutan terhadap empat pelajar - Khirul Arifin Jusoh, Muhammad Fadhli Mansor, Mohd Abdul Halim Abdul Wahid, dan Muzhaffar Mustafa - Fariz berkata, beliau kesal sehingga kini kes itu masih lagi belum berjalan dengan sempurna.
Tidak adil
Beliau yang mewakili Mohd Abdul Halim berkata, kes tersebut terpaksa ditangguh beberapa kali kerana ketiadaan Amir untuk memberi keterangan di mahkamah.
"Kami mahu kes itu diteruskan dan mengemukakan kes kami. Tetapi kami tidak boleh berbuat demikian selagi pihak pengadu tidak hadir. Saya rasa ini amat tidak adil bagi pelanggan saya dan defendan yang lain," katanya.
Katanya, Amir sepatutnya menarik balik sahaja tuntutannya itu jika beliau tidak lagi mahu kes iu dijalankan tanpa tidak membiarkan pihak defendan tertunggu-tunggu.
"Adakah beliau (Amir) serius untuk meneruskan kes ini? Tindakannya seolah-olah menghina proses mahkamah. Pelajar-pelajar yang terlibat terpaksa berkorban masa untuk hadir ke mahkamah," katanya lagi.
Beliau juga memberitahu bahawa ada permohonan supaya kes itu "ditangguhkan tanpa sebarang tarikh" atas alasan ketidakhadiran Amir.
Sementara itu, Salman yang juga salah seorang saksi pihak pembela memberitahu malaysiakini , kes itu telah ditangguh sebanyak 11 kali semenjak ianya difailkan pada 18 Nov lalu.
Tamat pengajian
"Amir sendiri belum memberi keterangan dakwaannya pada tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan kecuali keterangan pertama yang dinyatakan kepada pihak mahkamah ketika membuat pendaftaran kes," katanya ketika dihubungi semalam.
Kata Salman peguam Amir, Hana Al Halasah telah memberi pelbagai alasan, termasuk wabak penyakait Sars, sebagai sebab kegagalannya untuk hadir memberi keterangan di mahkamah.
"Pada 13 Mac lalu, peguam Amir memberitahu pihak mahkamah bahawa Amir menghubunginya dari Malaysia, mengatakan pihak kerajaan Malaysia tidak mengizinkan dia hadir," katanya lagi
Pihak defendan telah memberitahu mahkamah bahawa Amir mungkin tidak akan kembali ke Jordan memandangkan beliau telah menamatkan pengajiannya di Universiti Mu'tah dan memohon mahkamah supaya meggugurkan kes itu, katanya lagi.
"Mahkamah telahpun mengeluarkan surat kepada pihak Universiti bagi meminta pengesahan berhubung dakwaan pihak tertuduh bahawa Amir telahpun menamatkan pengajiannya," katanya.
Perkembangan selanjutnya akan diketahui bila kes itu akan disebut semula hari ini (21 Mei), kata Salman.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.