Guna wang MBI: Selangor kata biasa, tak janggal

   

Tindakan Selangor membelanjakan wang anak syarikatnya Perbadanan Menteri Besar (MBI) bagi tujuan penginapan tetamu merupakan amalan biasa dan bukan sesuatu yang janggal, kata setiausaha politik kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Faekah Husin berkata, dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar itu jelas merujuk kepada tetamu kerajaan dari Sabah dan Sarawak yang mengadakan kunjungan rasmi dan  perjumpaan dengan Khalid.

"Memandangkan Noh telah membangkitkan perkara ini kita menggesa beliau mengemukakan bukti bahawa telah wujud penyalahgunaan wang kerajaan dan rakyat.

"Sedikit pun kita tidak berasa gusar kerana kerajaan Selangor khususnya MBI bersikap terbuka dalam hal ini dan sedia disemak oleh Bahagian Audit Dalaman, hatta disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor didakwa membiayai penginapan kira-kira 500 perwakilan pada Kongres PKR tahun lalu sebanyak RM80,500.

Sambil mendakwa mempunyai bukti invois dan resit, menteri pertanian dan insdustri asas tani itu berkata, ia dikeluarkan oleh MBI bagi membayar tempahan 100 bilik di sebuah hotel di Petaling Jaya ketika kongres tersebut diadakan.

'Hisham politikkan isu polis bantuan'

Noh berkata, Pemuda BN akan membuat laporan kepada SPRM dalam masa terdekat.

Dalam kenyataan pagi ini, Faekah sebaliknya berkata banyak tuduhan yang cuba dilemparkan oleh Noh berkenaan pentadbiran negeri "jelas menunjukkan bahawa beliau terdesak untuk membuktikan dirinya masih relevan di Selangor."

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Faekah menyatakan kekesalannya terhadap sikap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwa  mempolitikkan isu permohonan polis bantuan oleh kerajaan negeri.

"Beliau katakan kerajaan negeri tidak pernah menolong membanteras jenayah tetapi dengan masa  yang sama menolak pula tawaran kami untuk menyediakan pasukan polis bantuan yang telah dicadangkan sejak Julai 2010.

"nilah akibatnya apabila pemimpin-pemimpin mengutamakan kepentingan politik  sebelum kepentingan rakyat.

"Amat menyedihkan apabila tawaran kami yang dibuat berkali-kali ditolak dengan alasan yang lemah dan jelas menunjukkan bahawa keputusan itu dibuat demi menjaga air muka pemimpin BN," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda