Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat sumbang RM100,000 untuk kuil Ladang Kerilla
Diterbitkan:  Feb 21, 2011 4:51 AM
Dikemaskini: 4:55 AM

Lebih 2,000 penduduk kaum India di Ladang Kerilla, dekat Tanah Merah, gembira dengan peruntukan RM100,000 daripada kerajaan pusat bagi membesarkan dewan kuil Sri Maha Mariamman demi memenuhi keperluan jumlah pengunjung yang meningkat setiap tahun.

Setiausaha Kerja Persatuan Integrasi Belia, G Maran berkata, kuil itu dibina sejak 1926 ketika penempatan awal masyarakat India di Tanah Merah.

Beliau berkata, sejak kuil berkenaan dibina, ramai penganut agama Hindu mengunjunginya bagi perayaan khas setiap bulan Jun dan pada tahun lepas seramai 15,000 orang dari seluruh negara datang ke kuil itu.

"Kuil itu siap dibina lebih awal daripada ladang getah yang dibuka pada 1932. Pada awal penempatan, Ladang Kerilla hanyalah sebuah perkampungan kecil yang mengusahakan tanaman getah. Kini ladang kami adalah penempatan kaum India terbesar di Kelantan,” katanya.

Maran berkata disebabkan kuil itu tidak lagi mampu menampung jumlah pengunjung, pihaknya menyerahkan surat meminta peruntukan ketika lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Tanah Merah tahun lalu.

Maran, 37, berkata usaha mendapatkan peruntukan itu dibantu Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

"Sumbangan itu merupakan jumlah terbesar diterima penduduk Ladang Kerilla sejak merdeka. Kami sangat berterima kasih," kata anak kelahiran Ladang Kerilla generasi keempat itu.

Beliau berkata pemberian peruntukan itu membuktikan kerajaan pusat memberi perhatian terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan menghormati kebebasan amalan beragama kaum lain biarpun agama rasmi negara adalah Islam.

Katanya satu majlis penyerahan cek akan diadakan pada Sabtu ini, di Ladang Kerilla oleh Ikmal Hisham kepada masyarakat India.

 - Bernama

ADS