93 peratus perwakilan MCA setuju adakan EGM
Sembilan puluh tiga peratus atau 2,201 daripada 2,362 perwakilan pusat MCA telah menandatangani petisyen supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 13 Mac bagi menunda pemilihan parti yang dijadualkan tahun ini.
Perwakilan pada EGM itu akan memutuskan tentang dua usul iaitu meminda artikel 167 perlembagaan parti bagi menunda pemilihan parti memandangkan kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan dari 42 bulan selepas pilihan raya umum kepada 36 bulan.
Satu lagi usul untuk mengadakan pemilihan parti dalam masa enam bulan selepas pilihan raya umum daripada tiga bulan sekarang.
Dua pemohon, timbalan presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan anggota jawatankuasa pusat Datuk Lee Chee Leong mengemukakan petisyen kepada setiausaha agung Datuk Seri Kong Cho Ha di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Kong berkata bilangan itu setakat ini telah melebihi jumlah minimum dua pertiga yang diperlukan bagi memanggil EGM.
"Saya akan mula mengedarkan notis kepada perwakilan mulai esok memberitahu mereka mengenai EGM yang bakal diadakan," kata beliau.
Kong berkata kaedah mengundi sama ada dengan mengangkat tangan atau menerusi kertas undi akan diputuskan di mesyuarat itu.
Liow berkata gesaan majoriti supaya diadakan EGM menunjukkan bahawa parti itu mahu memberi fokus penuh terhadap pilihan raya umum.
"Ahli MCA telah membuat keputusan tepat demi kepentingan parti. Pilihan raya umum yang akan datang adalah amat penting dan kami mahu memastikan supaya semua ahli MCA dapat memberi tumpuan penuh untuk memastikan kemenangan BN nanti," katanya.
MCA mengikuti jejak langkah Umno yang menangguhkan pemilihan parti untuk memberi fokus dan membuat persiapan untuk pilihan raya umum itu.
- Bernama

