Malaysia dan Turki bersetuju memansuhkan keperluan visa bagi membolehkan rakyat masing-masing membuat lawatan antara satu sama lain.

Ia diumumkan pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan, selepas pertemuan empat mata mereka diikuti perbincangan peringkat delegasi di Pejabat Perdana Menteri Turki itu di Ankara pada Selasa.

NONE "Ini adalah satu keputusan bersejarah dan penting yang pasti dapat meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara," kata Najib.

Beliau berkata, rakyat Malaysia dan Turki mempunyai banyak persamaan.

"Malahan, ada antara kita berasal daripada keturunan yang sama dan kita perlu mendalami warisan yang kita ada ini kerana ia mampu menjadi asas yang kuat dalam mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat kita," katanya.

Erdogan pula mengumumkan bahawa Turki akan menganjurkan "Tahun Malaysia" tidak lama lagi bagi merapatkan hubungan di peringkat rakyat kedua-dua negara manakala Turkish Airlines akan mengadakan semula penerbangannya ke Kuala Lumpur.

- Bernama