Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tengku Adnan Mansor mesti memberi bukti yang kukuh untuk menyokong penafiannya yang beliau tidak lagi memiliki 64 juta saham dalam Resort Berhad Bukit Tinggi yang diberi lesen operasi mesin slot, kata ahli Parlimen PAS Kawasan Kubang Krian, Husam Musa.

Katanya, adalah sukar bagi rakyat untuk menerima penafian itu sedangkan dokumen rasmi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan menteri berkenaan masih memiliki saham dalam syarikat itu yang bernilai RM1 seunit.

Husam memberitahu malaysiakini , beliau telah mengesahkan dengan suruhanjaya berkenaan yang rekod terperinci pemegang saham itu adalah maklumat terkini berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh syarikat itu pada 10 Feb tahun ini.

Husam menggesa Tengku Adnan supaya mengemukakan bukti kukuh bagi menjelaskan hubungannya dengan syarikat bekenaan, di mana pemegang saham terbesarnya ialah pengerusi Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan.

"Saya fikir rekod itu menjadi bukti yang kuat, dibanding dengan penafian Tengku Adnan. Beliau harus menerangkan mengapa namanya masih disenaraikan sebagai pemegang saham kedua terbesar syarikat berkenaan. Rakyat perlukan bukti yang kukuh," katanya.

Menjual saham

Semalam, Husam mendedahkan kepada malaysiakini bahawa Tengku Adnan dan anak syarikat kerajaan Pahang, Pasdec Corporation Sdn Bhd, adalah dua pemegang saham utama dalam Bukit Tinggi Resort.

Tengku Adnan bagaimanapun menafikannya dengan mengatakan beliau telahpun menjual sahamnya selepas dilantik sebagai timbalan menteri dua tahun lalu. Mentri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob turut menjelaskan yang Pasdec telah juga menjual sahamnya dua tahun lalu.

Sebelum ini, akhbar rasmi PAS melaporkan bahawa kerajaan persekutuan telah meluluskan lesen kepada syarikat terbabit untuk membuka kasino kedua di Pahang, dan mengkritiknya kerana tindakan itu akan menggalakkan perjudian.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa pusat peranginan itu hanya diberi lesen untuk operasi 250 mesin slot untuk ahli-ahlinya sahaja dan tidak terbuka kepada umum.

Menurut Husam lagi, Adnan juga, sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, perlu mengemukakan bukti kukuh untuk menyokong kenyataannya yang Pasdec telah menjual sahamnya dalam syarikat berkenaan.

Kenyataan bercanggah

"Sesiapa pun boleh mengatakan apa-apa sahaja tetapi sama ada mereka dapat membuktikannya, itu satu perkara lain. Saya tetap berpegang dengan dokumen yang diperolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia," katanya.

Husam juga mempersoalkan kenyataan Dr Mahathir bahawa mesin slot itu untuk ahli-ahli sahaja, kerana ianya bercanggah dengan kenyataan syarikat itu sendiri sebelum ini.

"Pengurus besarnya Teh Ming Wah beritahu DowJones newswire pada 24 Feb lalu bahawa pusat mesin slot itu terbuka kepada pelawat yang perlu membayar yuran masuk sebanyak RM16. Malah, katanya, pusat peranginan sedang menimbang untuk memansuhkan bayaran itu bagi pelawat yang memasuki tempat perjudian itu," katanya.

Ini bermakna sesiapa sahaja yang melawat tempat peranginan itu bebas untuk menggunakan mesin slot berkomputer yang menyediakan permainan seperti bakarat dan rolet, kata Husam lagi.

Sementara itu, setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Ronnie Liu turut menyokong kenyataan Husam dengan menegaskan bahawa tiada salahnya untuk sesiapa untuk merujuk pusat perjudian itu sebagai sebuah "kasino" memandangkan ia mempunyai 250 mesin slot.

Lesen baru

"Oleh itu, jika hanya perlu membayar yuran keahlian sebanyak RM16 untuk masuk ke pusat perjudian itu, itu menunjukkan ia adalah sebuah kasino. Tiada sebabnya mengapa kelab berkenaan perlu memiliki mesin slot sebanyak itu," katanya dalam kenyataan.

Katanya, yuran masuk itu hanyalah satu gimik untuk mengesahkan status pusat peranginan itu sebagai sebuah kelab, sambil menegaskan bahawa negara ini tidak perlukan sebuah kasino lagi kerana ianya hanya mengakibatkan lebih banyak masalah sosial di kalangan masyarakat.

Sementara itu, presiden Keadilan, Dr Azizah Wan Ismail dan rakan sejawatannya dari PRM, Dr Syed Husin Ali berkata, keputusan meluluskan lesen mesin slot sepatutnya dibuat secara telus.

"Bagi kami, sama ada kasino atau mesin slot, ianya tetap judi - sesuatu yang tidak patut digalakkan. Kami juga diberitahu yang lesen yang serupa telah dikeluarkan kepada sebuah pusat perjudian di Pulau Tioman."

Mereka juga mempersoalkan kenyataan Adnan bahawa pembukaan pusat perjudian itu dibenarkan dengan mengambilkira hak orang bukan Islam untuk berjudi.

Daripada bersungguh-sungguh mempertahankan hak orang bukan Islam untuk berjudi, mereka berpendapat Adnan seharus menumpukan perhatian kepada soal hak-hak mereka yang lebih penting seperti dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial yang kerap diabaikan oleh kerajaan.