Pemegang minoriti PLUS terima tawaran UEM-KWSP
Pemegang saham minoriti PLUS Expressways Bhd (PLUS) menerima bida tawaran bersama UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memperoleh semua aset dan liabilitinya, kata Pengerusi Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.
Beliau berkata 99 peratus daripada 21 peratus pemegang saham yang layak yang menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) mengundi memihak kepada bida tawaran bersama pada pertimbangan pembelian sebanyak RM23 bilion atau RM4.60 sesaham.
"Kami menyasar pembayaran harga tawaran kepada pemegang saham yang layak pada awal September dan menjelang akhir September saham syarikat akan dikeluarkan daripada senarai Bursa Malaysia," kata beliau pada sidang akhbar selepas EGM syarikat di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Oktober 2010, PLUS mengumumkan yang syarikat telah menerima tawaran bersama daripada pemegang saham utama, UEM Group dan KWSP, bagi memiliki semua perniagaan, aset dan liabiliti kumpulan.
Kedua-dua pihak akan kemudiannya membentuk Jentera Tujuan Khas (SPV) bagi memudahkan janji niaga pada asas 51:49.
Kemudiannya, semua aset dan liabiliti PLUS Expressways Bhd, akan dipindahkan kepada SPV tersebut.
"Kami yakin yang kami telah mematuhi prosedur yang betul," kata beliau semasa diminta mengulas tindakan beberapa pemegang saham yang tidak gembira meninggalkan EGM setelah mendakwa hak mereka terhadap cadangan pengambilalihan itu tidak diendahkan lembaga pengarah PLUS.
Sementara itu, Pengarah Bukan Eksekutif bebas kanan PLUS, Tan Sri K Ravindran, yang mempengerusikan EGM itu berkata: "Kami telah mematuhi semua prosedur perundangan yang perlu dilakukan dan ini juga disahkan oleh majlis perundangan kami."
Keputusan untuk menjadikan PLUS persendirian dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa mengumumkan Bajet 2011 tahun lalu di mana beliau turut mengumumkan pembekuan kenaikan tol di empat lebuh raya milik PLUS dalam masa lima tahun akan datang.
Langkah kerajaan itu bagi memberi laluan kepada pengurangan kadar tol dan ini mungkin mempengaruhi paras keuntungan yang biasa dinikmati PLUS sebelum ini.
- Bernama

