Peguam Negara mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan arahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bahawa kakitangan awam negeri hanya boleh disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat masing-masing.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha memutuskan perkara itu perlu dihantar kembali ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Panel itu yang turut dianggotai hakim Datuk Azhar@Izhar Ma''ah dan hakim Datuk Mohamed Apandi Ali, menolak rayuan setiausaha kerajaan negeri Selangor dan kerajaan negeri Selangor dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka (setiausaha kerajaan negeri Selangor dan kerajaan negeri Selangor) untuk membatalkan saman pemula Peguam Negara.

Setiausaha kerajaan negeri dan kerajaan negeri Selangor juga diperintahkan membayar RM30,000 bagi kos undang-undang.

Peguam Negara memfailkan permohonan itu bagi memohon mahkamah mengisytiharkan Pekeliling No 4, 2009 bertarikh 28 Julai itu adalah batal kerana pekeliling itu adalah tidak sah kerana melanggar Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru dikuatkuasakan.

 - Bernama