Kementerian Dalam Negeri hari ini memberikan alasan seorang ahli perniagaan yang tinggal di Sarawak dilarang pulang ke negeri itu kerana dianggap "pelampau" apabila mengkritik dasar kerajaan negeri.

"Pas lawatan sosial Tan Seng Hin disekat kerana beliau merupakan seorang 'ekstremis' (pelampau) terhadap dasar kerajaan," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin di Dewan Rakyat hari ini.

"Beliau (Tan) merupakan pemegang pas lawatan sosial dan beliau tidak boleh terlibat dalam aktiviti menentang dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri."

Zainal menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) yang ingin penjelasan sebab-sebab Tan dianggap sebagai seorang pelampau.

Pada 13 Disember tahun lalu, ahli perniagaan itu yang menetap di Sarawak selama 23 tahun telah diarah keluar oleh pejabat imigresen negeri itu tanpa sebarang surat tunjuk sebab. Tan yang dilahirkan di Melaka terpaksa meninggalkan anggota keluarganya di Miri selepas pas itu dibatalkan.

Timbalan menteri itu berkata beliau akan menjawab dalam bentuk hitam-putih dalam sidang dewan esok.

"Saya akan berikan jawapan bertulis kerana saya tidak boleh mengingat semua perkara yang dilakukan (Tan)," katanya.

Jawapan Zainal itu dibantah oleh Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka) dengan alasan perkara itu sepatutnya diumumkan kepada semua anggota dewan, bukan hanya untuk Teresa.

"Saya sudah cakap akan beri secara bertulis. Saya beri secara bertulislah," jawab Zainal lagi.

Sementara itu sebagai reaksi kepada jawapan Zainal itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata jawapan timbalan menteri itu "paling tidak memuaskan dan tidak boleh diterima" dan menunjukkan tahap "prestasi menteri yang semakin merosot."

"Zainal seharusnya diberikan taklimat lengkap tentang kes Tan Seng Hin ini oleh pegawai-pegawai di kementeriannya sebelum berdiri untuk menjawab soalan yang diajukan oleh anggota-anggota Dewan Rakyat," kata Lim kepada malaysiakini .

Menurut Lim lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Mahathir Mohamad harus memastikan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen bertindak lebih serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka dan bersiap sedia tentang sesuatu isu agar tidak berulang "gelagat memalukan" (parliamentary gaffe) seperti itu.