Ahli parlimen PAS kawasan Kubang Kerian, Husam Musa berkata Laporan Ketua Audit Negara mengandungi fakta dan bukti adanya unsur-unsur penyelewangan dan salahguna kuasa dalam pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Beliau menyifatkan laporan itu sebagai "bahan mentah" utama yang boleh digunakan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk memulakan siasatan berhubung pelbagai kesalahan penyelewangan yang melibatkan berbilion wang rakyat.

Menurut Husam lagi, agensi-agensi kerajaan seperti BPR sepatutnya membuat siasatan susulan terhadap laporan terbabit supaya akauntabiliti kerajaan sebagai pengurus harta rakyat akan terjaga.

"Laporan (audit) ini paling berguna untuk BPR. Kalau audit buat laporan, dan tiada agensi kerajaan yang melengkapkanya, ia (laporan) tidak memberi apa-apa kesan dan makna," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar mengenai buku tulisannya yang bertajuk "BN Khianati Amanah Rakyat" yang dibuat berdasarkan fakta-fakta dalam laporan audit dari tahun 1999 sehingga 2001.

Husam juga meminta BPR supaya menyiasat pembayaran kemajuan kerja di projek-projek yang dilaksanakan di Terengganu pada 1999 (lihat carta) di mana kerajaan negeri telah meluluskan pembayaran 99 peratus harga projek, hanya empat hari setelah projek berkenaan diluluskan.

Pegawai terpaksa akur

"Saya telah mengambil inisiatif sendiri untuk bertanya hal ini kepada Mentri Besar Terengganu sekarang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan beliau berkata pegawai berkenaan tidak bersetuju berhubung pembayaran itu, namun terpaksa mengikut arahan menteri besar waktu itu.

"Pegawai tersebut telahpun merekodkan arahan dan tidak persetujuannya dalam minit-minit mesyuarat. Saya yakin dokumen-dokumen yang berkaitan masih ada dan jika BPR berminat mereka boleh memulakan siasatan," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti pegawai terbabit dalam bukunya kerana beliau mahu buku itu hanya memberi tumpuan terhadap isu akauntabiliti kerajaan.

"Saya menulis buku ini bukan untuk menyerang individu tetapi lebih kepada membangkitkan minat rakyat terhadap akauntabiliti kerajaan. Dengan sendirinya, laporan audit ini boleh menilai akauntabiliti mereka (kerajaan BN)," katanya.

Satu lagi sebab mengapa beliau menulis buku tersebut ialah kerana beliau dan rakan-rakan di Barisan Alternatif (BA) tidak diberi peluang untuk membangkitkan isu-isu yang terdapat dalam laporan tahunan itu.

"Tidak ada masa khas untuk kita membangkitkan laporan-laporan tahunan di sidang Parlimen . Jadi fakta-fakta ini terperam begitu sahaja tanpa diketahui rakyat," katanya.

Lesen perjudian

Menurutnya, beliau sengaja telah menghadkan komen peribadinya dalam buku tersebut kerana beliau mahu pembaca boleh "menikmati" data-data yang diperolehi dari laporan audit itu.

"Dengan membaca data-data tersebut itu sahaja, pembaca boleh merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Jadi tidak perlu untuk saya membuat komen-komen yang boleh dianggap berat sebelah," katanya,

Selain isu pembayaran projek di Terengganu, Husam turut mengenengahkan juga isu Perwaja Steel , pembayaran projek di Terengganu (sewaktu pemerintahan BN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau mendakwa mengikut laporan audit dan beberapa dokumen awam yang dibentang di Parlimen, kerajaan telah kerugian RM18 bilion dan bukannya RM10 bilion seperti yang didakwa oleh kerajaan.

Buku berharga RM6 itu akan dilancarkan dalam beberapa minggu lagi bersama sebuah lagi karya Husam bertajuk "Malaysia: Darul Kasino" yang menyentuh isu pemberian lesen perjudian kepada sebuah kelab peranginan di Bukit Tinggi.