Calon BN di Merlimau lancar Facebook
Empat hari menjelang pengundian, calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau, Roslan Ahmad hari ini melancarkan akaun Facebook peribadi dalam usahanya mendekati masyarakat.
Roslan, 44, yang sentiasa diiringi isteri Zalifah Omar, yakin menerusi cara itu masyarakat setempat dapat meluahkan aduan terhadap sebarang permasalahan kepada beliau dengan pantas.
"Saya melancarkan
Facebook
untuk membolehkan pengunjung rakan-rakan Facebook yang berminat mengetahui aktiviti sepanjang tempoh berkempen terutama golongan belia yang aktif menggunakan media baru itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman sosial yang menggunakan nama akaun 'Roslan Ahmad' serta bersarapan pagi bersama kira-kira 20 wakil media di kediamannya di Jalan Batu Gajah, di Jasin.
Anak kepada bekas ADUN Sungai Rambai itu yang berbaju biru muda dengan logo 1Malaysia berkata, beliau mengalu-alukan sebarang maklum balas dari masyarakat termasuk berbentuk kritikan dan teguran.
"Dengan itu saya dapat bertemu dengan lebih ramai pengundi di samping berkomunikasi dengan mereka," katanya yang opitimis pendekatan secara peribadinya sepanjang kempen mampu meningkatkan popularitinya pada kalangan pengundi.
Sebagai anak jati Merlimau, Roslan berkata, beliau memahami keperluan dan aspirasi rakyat serta berusaha belajar untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik khususnya sebagai ahli majlis Perbandaran Jasin sejak 2001.
Beliau juga berjanji akan menjawab segala kritikan dan komen di facebooknya sebagai sebahagian usaha untuk memahami permasalahan di kalangan mereka di samping menyampaikan pesanan kepada mereka.
Mengenai perkembangan sepanjang hari keempat berkempen, Roslan berkata beliau telah menemui kira-kira 70 peratus pengundi dan akan terus menjelajah ke seluruh Merlimau selain ceramah serta program yang diatur bersama pemimpin tertinggi BN.
Sementara itu, isterinya Zalifah berkata meskipun rutin seharian beliau dan anak-anak kini jauh berbeza sejak Roslan menjadi calon BN, namun sokongan penuh tetap diteruskan bagi memastikan kemenangan BN.
"Saya tidak pernah berasa beban, sebaliknya yakin kepercayaan yang diberikan kepada suami untuk menjadi calon BN bagi pilihan raya kecil ini sebagai amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin," kata ibu kepada empat cahaya mata yang berusia antara usia empat dan 11 tahun itu.
Sejurus selepas itu, Roslan dan isteri menziarahi jenazah rakan sekampungnya Ali Bashah yang meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi tadi di Kampung Kilang Berapi di sini.
Turut menziarahi jenazah allahyarham ialah calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38.
- Bernama

