CEO TalentCorp: Terus bersaing atau gagal
Ketua pegawai eksekutif Talent Corporation Johan Mahmood Merican berkata negara tidak akan mampu untuk terus bersaing dalam era globalisasi sekiranya masyarakat pekerja masih tergolong dalam kumpulan tidak mahir.
Dalam masa sama, beliau berkata kumpulan itu akan terpaksa bersaing dengan golongan pendatang asing yang juga tergolong dalam kumpulan tidak mahir.
Katanya lagi, tumpuan TalentCorp bukanlah ke atas golongan tidak mahir, tetapi ke atas penyediaan peluang kerja yang kompetitif bagi golongan berkemahiran tinggi.
"Sekiranya kita tidak memfokuskan kepada bagaimana negara ini dapat meningkatkan diri dalam rantaian nilai ini, kita semua akan menjadi miskin.
"Kita berada dalam dunia global. Jika anda tidak berkemahiran, anda terpaksa bersaing dengan semua golongan tidak berkemahiran di dalam dunia ini.
“Melainkan jika kita berjaya membawa kesemua rakyat kita naik dalam lengkungan ini (kita akan ketinggalan)... Malangnya, kita tidak ada pilihan – terus bersaing atau gagal," kata Johan dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.
Realiti kejam
Realitinya, golongan pekerja tidak mahir juga tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah yang membentuk hampir separuh daripada keseluruhan tenaga kerja negara.
Johan mengharapkan, golongan ini akan menerima kesannya apabila pencapaian negara meningkat menjadi negara berpendapatan tinggi.
"Ini adalah realiti kejam globalisasi. Kita sebuah negara berpendapatan sederhana. Langkah ke hadapan adalah dengan menjadi negara berpendapatan tinggi dan anda tidak boleh menjadi negara berpendapatan tinggi tanpa berkemahiran tinggi," katanya lagi.
Beliau memberi contoh tindakan yang perlu diambil ibu bapa dalam menjamin masa depan anak mereka.
“Ibu saya sentiasa beritahu saya bahawa beliau perlu bertindak zalim untuk menjadi ibu yang baik. Itu benar bagi seorang ibu. Anda tidak boleh membiarkan anak anda tidak membuat kerja sekolah dan tidak mempunyai cita-cita," katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai rancangan TalentCorp dalam memenuhi keperluan tenaga mahir negara, Johan berkata pekerja berkenaan tidak semestinya seorang warga tempatan.
Jelasnya, TalentCorp turut melihat kepada diaspora warga Malaysia yang kini berkhidmat di luar negara – dianggarkan berjumlah sehingga 1,000,000 orang.
Johan berkata, TalentCorp telah mengenalpasti dua pendekatan yang akan diambil bagi mengelakkan warga Malaysia terus berhijrah ke luar negara.
'Tidak boleh selesai semua masalah'
Pertama, Malaysia perlu menyediakan peluang ekonomi untuk menarik tenaga kerja mahir ini ke dalam negara.
Seterusnya, satu keadaan perlu diwujudkan bagi membolehkan tenaga kerja itu dikekalkan di dalam negara, katanya.
Bagaimanapun, TalentCorp masih berada di peringkat awal dengan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin industri, para majikan dan golongan berkepentingan dalam bidang tenaga kerja.
Malah, Johan mengakui bahawa TalentCorp masih belum menjalankan perbincangan mendalam dengan kementerian dan juga pusat pengajian tinggi yang bertanggungjawab mengeluarkan tenaga kerja mahir negara.
Katanya lagi, TalentCorp hanya mampu bertindak dalam ruang lintup yang telah ditetapkannya dalam menangani masalah penghijrahan warga Malaysia ke luar negara.
Masalah berkaitan isu politik, keadaan sosial dan kualiti pengajian di negara ini merupakan antara rungutan utama yang telah ditimbulkan beberapa pihak sebelum ini.
"Saya tidak boleh berpura-pura boleh selesaikan semua masalah. TalentCorp ada batasnya," katanya lagi.

