Perintah mahkamah kes rebutan anak digantung
Bi-Anne, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang terlibat dalam perebutan hak jagaan, hari ini menangis kegembiraan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan untuk menggantung buat sementara waktu perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan beliau dibawa ibunya ke Britian.
Hakim Datin Paduka Zaleha Zahari yang mengetuai panel tiga hakim berkata penggantungan itu berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 22 Mac, iaitu tarikh mahkamah perlu menetapkan pendengaran rayuan bapa kanak-kanak berkenaan, Low Swee Siong.
Selain itu, panel berkenaan memutuskan bahawa Low tidak perlu membayar denda sebanyak RM400, bagi setiap hari yang dia lewat menyerahkan Bi-Anne kepada bekas isterinya Tan Siew Siew, sehingga 22 Mac ini.
Low mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang antara lain, membenarkan Tan, 37, seorang pengurus restoran di London, membawa Bi-Anne ke Britain dan tidak memberikan akses untuk Low melawat anaknya, serta mendenda perunding hartanah itu kerana mengingkari perintah mahkamah.
Sejurus selepas Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusannya, Bi-Anne dilihat mengesat air mata.
"Saya rasa gembira, kini saya boleh kembali ke sekolah. Saya rindu kepada kawan-kawan di sekolah. Saya akan beritahu mereka dalam Facebook yang saya akan pergi ke sekolah esok," kata kanak-kanak yang sebelum ini belajar di rumah kerana takut dilarikan ibunya.
Sebelum ini, beberapa percubaan Low, 40, yang diwakili peguam Sulaiman Abdullah bagi menggantung perintah Mahkamah Tinggi berkenaan gagal.
Pasangan itu berkahwin dalam tahun 1999 dan bercerai pada 2006, dengan hak jagaan Bi-Anne diberikan kepada Low.
Dua tahun kemudian, Tan memohon dan berjaya mendapatkan hak menjaga Bi-Anne manakala Low diberikan akses untuk melawat anaknya.
Bagaimanapun, Bi-Anne enggan mengikut Tan, sebaliknya berkeras mahu tinggal bersama bapanya.
Hari ini, panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Clement Allan Skinner agak ragu-ragu untuk mendengar rayuan Low kerana tidak pasti sama ada Tan telah dimaklumkan mengenai perkara itu secara tertib.
Tan dan peguamnya tidak hadir pada prosiding hari ini.
Sebelum ini, pada 2 Feb lalu, bekas peguam Tan, K Bowanes menarik diri daripada mewakilinya.
Terdahulu, mahkamah membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bertindak sebagai pemerhati dalam kes itu.
Sementara itu, peguam Datuk Jagjit Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati Bi-Anne, memaklumkan bahawa pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bagi membenarkan pekerja kebajikan BVijayakumari GA Pillai, 60, dilantik sebagai penjaga ad litem Bi-Anne.
Penjaga ad litem merupakan sukarelawan yang dilantik mahkamah bagi menjaga hak dan kepentingan kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
Mengikut undang-undang, seorang penjaga ad litem perlu dilantik bagi membolehkannya mendapat hak atau locus standi untuk hadir serta mengambil bahagian dalam prosiding mahkamah.
Pada 13 Sept lalu, Mahkamah Tinggi mendenda Low RM20,000 kerana mengingkari perintah mahkamah supaya menyerahkan Bi-Anne dan dokumen perjalanan kanak-kanak itu kepada bekas isterinya.
Selain itu, Low diperintah membayar denda RM400 bagi setiap hari yang dia lewat menyerahkan anaknya kepada Tan.
Pada 28 Jan lalu, ibu bapa Bi-Anne gagal menyelesaikan pertikaian berhubung hak penjagaan kanak-kanak tersebut melalui proses mediasi menerusi persidangan video.
- Bernama

