Semua anggota majlis mesyuarat kerajaan (exco) Terengganu diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing kepada orang ramai dan bukannya kepada menteri besar sahaja seperti lazim diamalkan oleh negeri-negeri di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini tengah hari ini memberitahu peraturan berhubung hal itu akan dikuatkuasa tidak lama lagi. Langkah mengumumkan harta exco kepada orang ramai merupakan usaha yang tidak pernah diamalkan walaupun di peringkat kerajaan persekutuan. Di peringkat kabinet persekutuan, semua menteri mengisytiharkan harta masing-masing kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Hadi lagi, memandangkan kerajaan negeri masih di peringkat penyusunan semula pentadbiran, tarikh akhir bagi setiap exco berbuat demikian belum ditetapkan lagi.

"Proses untuk mengisytiharkan harta juga akan turut dikaji," katanya.

Selain langkah terbaru itu, Hadi turut menjelaskan bahawa kerajaan pimpinannya akan mewujudkan jawatankuasa hisbah peranannya sama dengan jawatankuasa penilaian ( ombudsman ) yang biasa diamalkan di negara-negara Barat bagi menerima aduan-aduan orang ramai berhubung salah laku pegawai-pegawai kerajaan. Beliau berkata, bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas telah dilantik untuk mengetuai jawatankuasa itu.

"Jawatankuasa itu akan bertindak berdasarkan aduan-aduan dari orang ramai berhubung amalan salah guna kuasa wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan," jelasnya. "Aduan itu termasuklah terhadap menteri besar sendiri."

Ditanya apakah langkah ini boleh disifatkan terulung di negara ini, Hadi menjelaskan bahawa Badan Pencegah Rasuah sepatutnya bertindak sedemikian tetapi BPR tidak berkesan di bawah pengaruh Perdana Menteri sekarang.

"BPR tidak bebas daripada pengaruh campur tangan orang politik," tegasnya.

Presiden Ketelusan Antarabangsa Malaysia, Tunku Abdul Aziz, berkata sistem hisbah yang diperkenalkan oleh kerajaan PAS itu merupakan langkah yang bijak dan sepatutnya diikuti oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain.

"Tahniah kepada Terengganu kerana pertama kali memperkenalkan langkah itu. Pejabat hisbah sewajarnya menjadi satu unit penting pentadbiran kerajaan, khususnya di peringkat persekutuan," jelasnya.

Menurut Abdul Aziz, organisasi pimpinannya yang selama ini berusaha menentang korupsi telah beberapa kali menggesa kerajaan persekutuan agar melaksanakan langkah mengumumkan harta anggota-anggota kabinet kepada rakyat.

"Anggota-anggota kabinet sepatutnya mengisytiharkan harta mereka kepada sebuah jawatankuasa bebas di peringkat Parlimen. Tidak sesuai mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri sahaja. Perdana Menteri hendak isytiharkan harta kepada siapa pula?" tanyanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata Perdana Menteri harus mempelajari isyarat dari kerajaan Terengganu.

Beliau menjelaskan, beberapa idea yang Mahathir boleh pelajari termasuklah mensyaratkan semua menteri kabinet mengumumkan harta masing-masing kepada orang ramai dan menubuhkan jawatankuasa hisbah di peringkat kebangsaan atau melantik suruhanjaya di peringkat parlimen yang dapat menerima dan menyiasat aduan-aduan awam berhubung penyelewengan pentadbiran, salah guna kuasa, dan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Rabu lalu, pemimpin-pemimpin utama DAP mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Hadi Awang dan anggota-anggota exco kanan di Kuala Terengganu bagi membincangkan beberapa isu tempatan dan nasional. Satu daripada isu itu membabitkan pembinaan tempat-tempat ibadat kaum bukan Islam.

"Permohonan-permohonan Persatuan Buddha Kuala Terengganu, Gereja Katolik Kuala Terengganu dan Gereja Prebysterian Terengganu untuk membaiki dan membina bangunan baru akan diberikan pertimbangan positif dari Menteri Besar," jelas Kit Siang.

Permohonan-permohonan ini pernah diserahkan kepada kerajaan Barisan Nasional yang lalu tetapi tidak ada sebarang kelulusan diberikan. Hadi menjelaskan beliau belum menerima permohonan-permohonan tersebut tetapi menegaskan akan memberikan pertimbangan secukupnya apabila ia diterima.

Menurut Kit Siang, menteri besar itu turut berjanji akan mempertimbangkan cadangan dari DAP agar Terengganu menjadi kerajaan negeri pertama yang menyediakan bantuan kepada sekolah-sekolah rendah Cina.