Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jika gagal di bandar, kembali ke estet, saran Palanivel
Diterbitkan:  Mar 6, 2011 3:08 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Presiden MIC Datuk G. Palanivel hari ini meminta kaum India kembali bekerja di estet milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika mereka gagal menyesuaikan diri di bandar.

    

Ini kerana katanya, taraf kehidupan pekerja ladang kini semakin baik berikutan keputusan kerajaan menaikkan kadar upah minimum golongan itu kepada sekurang-kurangnya RM700 sebulan.

    

"Pada pendapat saya, estet menjanjikan kehidupan yang selamat berbanding hidup di tengah bandar. Hubungan masyarakat di estet juga lebih rapat, keselamatan terjamin dan bukan mudah pengaruh luar hendak masuk ke estet yang dikawal 24 jam oleh pengawal keselamatan," katanya, di sini hari ini.

    

Beliau yang ditemui pemberita selepas melawat Pusat Khidmat Masyarakat di Wisma MIC, berkata langkah itu juga dapat membantu menampung keperluan tenaga kerja di estet.

    

Jika kaum India kembali bekerja di estet, maka sektor ini tidak perlu lagi bergantung kepada tenaga kerja asing seperti dari Indonesia dan Bangladesh, kata Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Mengulas isu berbeza, Palanivel turut menempelak penyokong pertubuhan haram Hindraf yang pada pandangannya langsung tidak membantu meningkatkan taraf kehidupan kaum India di negara ini.

    

"Saya mahu tanya anda, adakah Hindraf ini membuat demontrasi kerana membela masyarakat India, mengetengahkan masalah kemiskinan? Apa yang mereka buat di ibu negara dengan berdemonstrasi pada Februari lepas adalah masalah novel Interlok. Mereka tidak membela masyarakat India," katanya.

    

- Bernama

ADS