Warga belia yang melibatkan diri dalam perniagaan harus bersedia untuk melakukan adaptasi dan perubahan yang sesuai dengan perkembangan semasa sekiranya ingin berjaya dalam dunia perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata belia niaga harus bijak menilai dan melihat apa yang boleh dilakukan untuk menambahbaik perniagaan mereka memandangkan skop perniagaan amat luas.

najib razak meets umno division leaders "Lakukan program adaptasi...di mana program adaptasi ini mengingatkan kita untuk melakukan perubahan dan perubahan ini boleh memberi keuntungan kepada perniagaan kita,” katanya ketika berucap melancarkan program Francais Usahawan Muda 1Malaysia-Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengambil contoh dua peruncit di Kerdau yang kini semakin berjaya selepas mengikuti projek tranformasi kedai runcit (Tukar) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Najib berkata ia menunjukkan jika peniaga berani melakukan adaptasi dan berubah, mereka akan lebih berjaya dalam sektor perniagaan yang diceburi.

"Dulunya kedai runcit itu nampak begitu comot dan tak tersusun, saya tengok gambar dulu letak penyapu depan kedai. Cuba bayangkan kalau kita sebagai pelanggan nak masuk ke kedai kita nampak penyapu bergayut. Adakah ini membuatkan kita sebagai pelanggan minat nak masuk kedai itu kerana benda pertama kita lihat ialah penyapu bergayut.

"Itu dulu, tetapi setelah terlibat dalam program ETP TUKAR, semua sudah bertukar. Barang-barang disusun dengan teratur dan cantik, bersih dan barang-barang yang tinggi sikit harganya diletak dalam cermin supaya tiada orang curi seperti yang berlaku dulu," katanya.

petaling street traders 140306 Najib berkata, peruncit berkenaan berjaya melaksanakan perubahan ke arah yang lebih baik dan meningkatkan pendapatannya lebih 100 peratus berbanding sebelum ini.

"Ini menunjukkan jika kita bersedia untuk melakukan adaptasi dan berubah kita boleh berjaya dalam perniagaan," katanya.

Perdana Menteri juga mahu golongan belia mengubah ungkapan "belia adalah cerminan masa depan" yang disifatkan kurang tepat kepada "Belia adalah untuk masa kini dan masa hadapan".

"Berdasarkan kepada perubahan pemikiran dan persekitaran hari ini, kita patut mengubah ungkapan itu bahawa para belia adalah untuk masa kini. Dan inilah yang semestinya kita lakukan untuk memperkasakan para belia melalui pelbagai pendekatan," katanya.

NONE Beliau berkata, pelbagai program dan pendekatan sudah dilaksanakan kerajaan supaya belia dapat merasai kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk memenuhi harapan dan aspirasi golongan itu.

Daripada situ katanya, kerajaan berharap untuk melahirkan golongan belia yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi, berani mengambil peluang dan menyahut cabaran, berhemah, bersopan, pandai mengurus masa, tidak menyusahkan keluarga selain mampu membantu merangsang ekonomi negara.

Najib berkata, golongan belia di negara ini amat bernasib baik kerana kerajaan telah membuka ruang yang luas kepada mereka untuk membabitkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan, termasuk sektor francais.

Ia, katanya, sejajar dengan hasrat kerajaan seperti yang terkandung dalam model ekonomi, yang menerapkan prinsip kerangkuman iaitu semua golongan perlu merasai agenda pembangunan negara dan hala tuju kerajaan mesti mencakup dan menyentuh kepentingan setiap golongan dalam negara.

NONE Malah, beliau berkata, dengan adanya PNS dan bantuan yang boleh diberikan, khususnya daripada aspek pinjaman iaitu dari serendah RM50,000 hingga RM2 juta, kemungkinan untuk belia niaga berjaya adalah tinggi.

"Risiko tetap ada tetapi kalau kita berani ambil risiko dan buat persediaan, perancangan dan dengan bantuan kerajaan melalui PNS saya percaya belia-belia kita boleh berjaya, khususnya golongan yang bertatih dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

"Kita buka untuk penyertaan semua kaum dan melalui PNS kita percaya golongan belia kita akan lebih maju dan mara sebab terbabit dalam bidang perniagaan yang sudah diambil kira citarasa dan perubahan persekitaran ini," katanya yang berharap lebih ramai belia akan berjaya dan menempa nama serta boleh menjadi kebanggaan.

- Bernama