Perkhidmatan Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad ditamatkan, berkuatkuasa serta-merta kerana memberi perakuan palsu berhubung status kebankrapannya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Tatatertib MPAJ sejak 3 Jun lalu, mendapati Abdul Kudus membuat perakuan palsu dalam surat akuan semasa pelantikannya.

Menurut laporan Bernama , Abdul Kudus, dalam surat akuannya, menyatakan bahawa beliau bebas daripada kesusahan kerana hutang dan tiada apa jua tanggungan atas surat janji hutang sama ada sebagai peminjam atau penjamin.

Menurut Dr Mohamad Khir, siasatan lembaga itu mendapati pada tarikh pelantikannya pada 15 Jan 2001, Abdul Kudus telahpun diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kegagalan melunaskan hutang dengan dua bank.

Institusi kewanga tersebut ialah Bank Bumiputra Malaysia Berhad sejumlah RM12,533.45 dan Arab Malaysian Finance Berhad sejumlah RM12,463.96.

"Jawatankuasa siasatan mencadangkan supaya perkhidmatan Abdul Kudus ditamatkan secara serta-merta mengikut syarat-syarat kontrak pelantikannya kerana membuat perakuan palsu dalam surat akuan," katanya.

Tiada rayuan

Bercakap dalam sidang media bagi mengumumkan hasil siasatan lembaga berkenaan hari ini, Menteri Besar berkata, Abdul Kudus tidak dibenarkan membuat rayuan kerana perbuatannya adalah serius.

Sebelum ini, Abdul Kudus digantung kerja selama sebulan mulai 4 Jun lalu, bagi membolehkan Lembaga Tatatertib MPAJ menyiasat dakwaan beliau menerima rasuah bagi membocorkan maklumat operasi Pihak Berkuasa Tempatan.

Lembaga itu dipengerusikan oleh Pengarah Undang-Undang MPAJ Johari Atli. Dua lagi anggota lembaga itu ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Pengurusan Penjaja, Dr Abdul Sarodin Shahri dan Pengarah Jabatan Bandar dan Seni Bina Yazid Sarkom.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M. Kayveas mendakwa mempunyai bukti untuk mengaitkan Abdul Kudus sebagai dalang yang melindungi "tonto" dan mendapat sogokan sehingga RM70,000 sebulan.

Mengenai tuduhan rasuah dan salahlaku terhadap Abdul Kudus, Menteri Besar berkata, MPAJ akan menyerahkan segala hasil siasatan, termasuk dokumen berkaitan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk siasatan selanjutnya.

"Kita akan memberikan informasi dari siasatan kita kepada BPR. Biarlah BPR mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Di luar kawalan

Menurut Dr Mohamad Khir, beliau berpuashati dengan pasukan penyiasat itu yang telah menjalankan tugas dengan baik dan telus tanpa mengira sentimen rakan setugas.

"Mereka berpendapat, undang-undang tetap undang-undang walaupun ia melibatkan rakan sekerja," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPAJ Ahmad Kabit berkata beliau menerima keputusan Lembaga Tatatertib MPAJ dan kerajaan negeri untuk menamatkan perkhidmatan Abdul Kudus.

Ditanya sama ada keputusan itu akan menjejaskan imej beliau sebagai YDP, Ahmad berkata: "Saya tidak rasa begitu. Kalau itu merupakan satu kesalahan yang telah dilakukan, kita kena ambil tindakan."

Menurutnya lagi, MPAJ sentiasa berhati-hati dalam pelantikan anggota majlisnya bagi memastikan pelantikan mereka mematuhi prosedur.

Bagaimanapun, katanya, perakuan palsu seperti dalam kes Abdul Kudus adalah di luar kawalan.