Malaysiakini BERITA

Interlok: NIAT ancam kerjasama dengan Pakatan

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pasukan Bertindak Interlok Nasional (NIAT) hari ini mengancam untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat sekiranya kerajaan gagal menarik balik buku Interlok daripada digunakan sebagai teks pembelajaran.

Pengerusi NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyertai program ceramah yang dianjurkan Pakatan bagi menerangkan isu berkenaan.

"Saya dari awal sudah beritahu semua orang, kita tidak mahu mempolitikkan isu ini.

"Tapi jika kerajaan tidak ambil tindakan sewajarnya, kita mungkin terpaksalah mengadakannya.

"Bukan dengan Pakatan saja, sesiapa panggil pun kita pergilah," kata Thasleem ketika ditanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu juga, beliau berkata NIAT akan memberikan satu taklimat kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat pada Isnin depan.

"Mereka telah minta berkali-kali supaya kita buat taklimat... Bukan kita (yang) minta," katanya lagi.

Menurutnya lagi, NIAT juga akan menulis kepada pengerusi kelab penyokong kerajaan untuk mengadakan taklimat sama kepada ahli parlimen BN.

Perhimpunan besar-besaran

Selain mengadakan taklimat, NIAT turut merancang program berterusan bagi menjelaskan bantahan NGO berkenaan terhadap Interlok, termasuk satu forum terbuka yang akan diadakan pada 17 April.

Kemuncak program tersebut ialah satu perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan pada 21 April dengan disertai sekurang-kurangnya 100,000 orang.

Thasleem berkata, NIAT akan mendapatkan permit polis bagi program yang dirancang untuk diadakan di sebuah stadium itu.

"(Ia akan dihadiri) bukan saja kaum India tapi juga dari kaum-kaum lain... Kita tak mahu buat kecoh di mana-mana dan tidak mahu menyusahkan orang ramai.

"Kita juga tidak mahu perhatian masyarakat antarabangsa kerana ini adalah isu nasional," katanya lagi.

Seorang lagi pemimpin NIAT Dr M Bala Tharumalingam berkata NGO berkenaan bagaimanapun masih meletakkan harapan kepada kerajaan BN untuk membolehkan buku itu ditarik balik.

"Tapi kita memang masih ada harapan (walaupun) timbalan perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah gagal untuk menyelesaikan masalah ini.

"Kita masih ada harapan (kepada) perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebagai bapa untuk 1Malaysia – mesti selesaikan masalah ini dengan menarik balik buku ini," katanya lagi dalam sidang media sama.

Muhyiddin didakwa gagal menyelesaikan masalah berkaitan buku berkenaan memandangkan sehingga menyebabkan tiga orang wakil masyarakat India mengundur diri daripada daripada panel bebas Interlok .

Panel bebas itu ditubuhkan kerajaan bagi mencari penyelesaian kepada kemelut yang timbul berhubung penggunaan novel berkenaan.