Pekerja ladang dakwa pihak polis berat sebelah
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menerima memorandum daripada pekerja dan bekas pekerja ladang di Sungai Siput (U) Perak yang mendakwa pihak polis telah menyalahguna kuasa untuk menghalang mereka daripada mengadakan konsert Hari Buruh.
Memorandum itu diserahkan oleh pengerusi jawatankuasa penganjur Hari Buruh Sungai Siput (U), Encik S Munusamy kepada pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Hamdan Adnan dan Datuk K C Vohrah hari ini.
Dalam memorandum itu, mereka mendakwa tindak-tanduk pihak polis Kuala Kangsar itu mempunyai unsur mala-fide (berniat jahat) dan berat sebelah kerana menghalangkan konsert itu yang merupakan aktiviti tahunan mereka yang tidak pernah dibatalkan sejak 16 tahun lalu.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menerima memorandum daripada pekerja dan bekas pekerja ladang di Sungai Siput (U) Perak yang mendakwa pihak polis telah menyalahguna kuasa untuk menghalang mereka daripada mengadakan konsert Hari Buruh.
Memorandum itu diserahkan oleh pengerusi jawatankuasa penganjur Hari Buruh Sungai Siput (U), Encik S Munusamy kepada pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Hamdan Adnan dan Datuk K C Vohrah hari ini.
Dalam memorandum itu, mereka mendakwa tindak-tanduk pihak polis Kuala Kangsar itu mempunyai unsur mala-fide (berniat jahat) dan berat sebelah kerana menghalangkan konsert itu yang merupakan aktiviti tahunan mereka yang tidak pernah dibatalkan sejak 16 tahun lalu.
Menurutnya, pekerja ladang dari lima ladang di Sungai Siput (U) - Ladang Sungai Krudda, Sungai Reyla, Elphil, Sungai Siput dan Kamiri - telah mengadakan konsert merayakan Hari Buruh secara bergilir-gilir sejak tahun 1987.
"Tahun lalu, konsert Hari Pekerja anjuran kami telah diadakan di Ladang Elphil, dan pada tahun ini, konsert kami di Ladang Kamiri telah dibatalkan secara paksa oleh pihak polis," kata mereka.
Oleh itu, kata mereka, tindakan polis tersebut telah mencabuli hak pekerja ladang merayakan Hari Buruh dan uacara kebudayaan di kawasan kediaman mereka.
Anggota FRU
Memorandum itu juga mendakwa tindakan polis itu tidak munasabah dan telah mewujudkan suasana tegang di kawasan Ladang Kamiri dengan menempatkan anggota polis di ladang itu dari jam 3 petang 30 Mei lalu hingga keesokan harinya.
Mereka juga mendakwa tindakan polis itu tidak rasional dengan menggunakan lebih 200 anggota polis, termasuk 60 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada petang 31 Mei lalu untuk menakutkan masyarakat ladang yang telah berkumpul di Ladang Kamiri untuk merayakan hari buruh.
Menurut memorandum itu lagi, pihak penganjur seperti biasa telah mengemukakan permohonan kepada Pejabat Daerah Kuala Kangsa pada 24 April lalu untuk mendapatkan lesen hiburan dengan menyerahkan semua borang yang disyaratkan.
Pada bulan lalu, pejabat berkenaan telah menghubungi pihak penganjur dan memberitahu semua pihak berkenaan, termasuk Majlis Daerah Kuala Kangsar, Pejabat Bendaharaan Kerajaan Negeri Perak dan pejabat daerah telah memberi kebenaran, kecuali pihak polis.
Menurut memorandum itu, tiga wakil pihak penganjur, termasuk Munusamy dan M Sugumaran, telah pergi menemui timbalan ketua polis Balai Sungai Siput berhubung perkara itu dan mereka diberitahu bahawa polis tidak ada sebarang keraguan dari segi keselamatan, tetapi tidak dapat mengeluarkan surat kebenaran tanpa adanya surat izin daripada majikan mereka, iaitu Syarikat Guthrie.
Mereka diberitahu, jika konsert ini diteruskan tanpa keizinan pihak Guthrie, pihak polis akan menghentikannya mengikut Seksyen 27A Akta Polis.
Bersikap berkecuali
Berikutan itu, mereka menemui pengurus Ladang Kamiri, Mohd Zulkifli Mohd Isa tetapi apabila diberitahu yang beliau tidak ada kuasa untuk memberi keputusan, mereka terus menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 15 Mei lalu.
Mereka mendakwa tindakan polis itu jelas menunjukkan pihak polis sudah mengambil pendirian memihak kepada pihak majikan, sedangkan ianya harus berkecuali dan hanya bertindak jika aktiviti yang dijalankan, mengancam keselamatan awam atau melanggar undang-undang.
Selain itu, mereka juga mendakwa pihak polis telah memanggil kontraktor pentas dan memberitahunya bahawa tiada permit dikeluarkan untuk mengadakan konsert tersebut dan mengingatkan beliau akan menghadap masalah jika terus membina pentas itu.
Sementara itu, Sugumaran ketika dihubungi memberitahu, pihaknya dimaklumkan yang pihak pengurusan Guthrie telah membuat laporan polis untuk menghalang konsert tersebut diadakan.
"Ini masalah sivil, bukan kes jenayah...kalau tidak suka, ambil tindakan mahkamah," katanya.
Menurutnya lagi, memang ada kes mahkamah yang membabitkan pekerja di situ dengan pihak Guthrie berhubung beberapa tuntutan pemberhentian kerja.
Katanya, selagi pihak mahkamah tidak membuat sebarang keputusan mengenainya, pekerja terbabit masih merupakan pemilik sah di kawasan perumahan mereka.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.