Tidak ada sebarang pakatan diantara ketua pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor dan wakil Umno seperti yang digembar-gemburkan oleh laman web Umno Reform , kata pemangku ketua pemuda Zahid Md Arip.

Beliau berkata beliau sedih dan kesal dengan khabar angin tersebut dan menganggap ianya satu perbuatan yang berniat jahat.

Beliau juga yakin penyebaran khabar palsu itu tidak lebih dari usaha murahan untuk mengganggu kerjasama kuat diantara parti pembangkang di Barisan Alternatif.

"Saya tahu selama ini Ezam berada dengan ibunya yang sedang sakit di Pulau Pinang. Kami didalam parti sendiri tidak mahu mengganggu beliau bersama keluarga. Jadi untuk menimbulkan berita palsu ini sekarang amat tidak patut," katanya kepada malaysiakini .

Minggu lepas, Umno Reform mendakwa kononnya terdapat siri perjumpaan diadakan di antara pihak Ezam dengan wakil Umno "untuk menrealisasikan penyatuan demi bangsa, agama dan negara.

Beliau juga berharap semua pihak supaya jangan mengendahkan khabar angin sebegitu yang hanya mahu mengacau kerjasama diantara parti pembangkan di Barisan Alternatif (BA).

"Saya menyeru supaya jangan ambil peduli tentang berita palsu seperti ini. Tambah pula sumbernya dari laman web seperti Umno Reform yang tidak mempunyai apa-apa kredibiliti. Semua orang tahu laman tersebut mempunyai niat yang tidak baik dan asyik menghentam barisan pemimpin Keadilan," katanya lagi.

Seperti barisan pemuda yang lain, Zahid berkata beliau yakin dengan kepimpinan Ezam yang baru sahaja dilepaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Jun lalu.

Sementara itu usaha mendapatkan Ezam gagal dan seorang wakil Keadilan memberitahu malaysiakini Ezam sangat sibuk melayan ibunya yang telah dimasukkan hospital sejak dua minggu yang lepas.

"Beliau mahu beri tumpuan penuh kepada ibunya dan tidak mahu dibebankan dengan perkara-perkara lain buat sementara itu," katanya.