Syarikat-syarikat utama pembinaan kilang pembakar sampah atau insinerator di Jepun mencatatkan kemerosotan jualan dan tempahan sepanjang tahun lalu dan ianya dijangka terus merosot pada tahun ini, demikian menurut DAP berdasarkan laporan akhbar di negara itu.

Setiausaha publisitinya, Ronnie Liu berkata, menurut laporan akhbar Industrial News bertarikh 3 Mei, jualan Ebara Corp merosot 22 peratus tahun lalu dan ianya dijangka merosot 15 peratus lagi kepada 130 bilion yen tahun depan.

Ebara Corp adalah antara syarikat kejuruteraan terbesar di Jepun. Syarikat itu dilaporkan telah dilantik untuk merekabentuk dan membina insinerator yang dicadangkan pembinaannya di Broga, berhampiran Semenyih. Ia juga merupakan insenirator pertama yang menggunakan sumber bakar gas - pembakaran menggunakan teknologi terkini tanpa asap.

Bagaimanapun, dalam jawapannya kepada soalan yang dikemukakan oleh malaysiakini sebelum ini, Ebara menafi bahawa syarikat itu sedang menghadapi masalah kewangan.

Dalam kenyataan lagi, Liu berkata, laporan Industrial News tersebut mendakwa Ebara telah diberi kontrak pembinaan insenirator di Broga dan "syarikat itu sudahpun mengira keuntungan yang bakal diperolehinya".

Kilang pembakar sampah yang berkeupayaan membakar 1,500 tan bahan buangan itu adalah yang pertama dicadangkan pembinaannya. Kilang yang sama telah dicadang pembinaannya bagi wilayah utara dan selatan Semenanjung Malaysia.

Walaupun laporan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek di Broga dijangka siap akhir bulan ini, tetapi kerajaan masih belum memberi sebarang maklumat mengenai sumber dana untuk melaksanakan projek tersebut.

Pampasan

Liu juga mendakwa ramai operator insinerator (di Jepun) telah disaman kerana operasi kilang mereka telah mengakibatkan merosakkan kepada alam sekitar.

"Ramai petani dan nelayan telah membuat tunturan pampasan daripada pihak berkuasa berikutan kesan buruk daripada kesan dioxin dan buangan gas toksid, terhadap kesihatan dan kehidupan mereka," katanya.

"Atas sebab-sebab keselamatan dan kos pembinaannya, Malaysia pun perlu membina insinerator, Kita tidak perlukan insinerator dan kita juga tidak perlukan perkhidmatan kontraktor yang kini dalam kesulitan , untuk membina kilang tersebut."

Ebara dikatakan sedang menghadap tindakan undang-undang berikutan terbongkarnya kegiatan syarikat itu pada tahun 2000, yang melepaskan buangan yang mengandungi tahap dioxin dan bahan toksid yang lain ke dalam Sungai Hikichi sejak tujuh tahun yang lalu.

Contoh air yang diambil daripada alur yang mengalirkan buangan itu ke sungai tersebut didapati mengandungi tahap kandungan dioxin yang 8,000 kali lebih tinggi daripada tahap yang dibenarkan di bawah undang-undang alam sekitar Jepun.

Malaysiakini

telah menghantar pertanyaan mengenai perkara itu kepada Pihak Berkuasa Tempatan Kanagawa, tempat kejadian itu berlaku, tetapi sehingga ini belum mendapat sebarang jawapan.

Begitu juga dengan soalan yang dikemukakan malaysiakini kepada Kementerian Alam Sekitar negara Jepun dan cawangan Ebara Corp di Zurich.

Tekanan awam

Sementara itu, Liu menegaskan bahawa tekanan awam mendesak supaya dikurangkan penggantungan, dan seterusnya menutup operasi insinerator di negara-negara yang sedang menggunakan loji tersebut.

Ini berlaku di Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Belgium, Denmark, Afrika Selatan and Mexico di mana rungutannya adalah berhubung dengan masalah yang berkaitan dengan pengeluaran dioxin dan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Jepun mempunyai jumlah loji pembuangan yang terbanyak di dunia, dengan lebih 6,000 loji pembuangan sampah dan buangan industri, serta sejumlah insinerator kecil yang dibina sejak beberapa dekat yang lalu.

Selain daripada Ebara, syarikat pembina insinerator di Jepun termasuk Mitsui, Hitachi, Kubota, Kawasaki, Sumitomo dan Takuma.

"Jika Jepun sendiri tidak mahukan insinerator, kenapa pula Malaysia mahu membinanya? Setelah Menyedari akibat buruk daripada penggunaan insinerator, rakyat di seluruh dunia kini membantah keras sebarang cadangan baru untuk membinanya," kata Liu lagi.

Garispanduan baru

Katanya, berdasarkan laporan akhbar Asahi Shimbun pada 29 Mei tahun lalu, kerajaan Jepun telah menggubal garispanduan yang lebih ketat untuk kilang pembakar sampah yang sudah lanjut usianya, berikutan satu kemalangan serius di Osaka.

Dalam kejadian itu, pekerja yang sedang merobohkan sebuah kilang sampah di Nose telah terkena racun dioksin. Berikutan tindakan undang-undang yang diambil berhubung kes tersebut, pihak kerajaan tempatan dan kontraktor telah menyediakan garispanduan keselamatan, dan ini telah mengakibatkan kenaikan kos yang tinggi.

"Beberapa majlis perbandaran yang tidak mampu membayar kos merobohkannya telah meninggalkan kilang terbiar dan tidak digunakan lagi," kata Liu sambil merujuk kepada hasil tinjauan 47 pihak berkuasa tempatan pada bulan April dan Mei tahun lalu.

Tambahnya, pembinaan kilang-kilang ini di Amerika Syarikat juga telah menurun dan ini menunjukkan kaedah pengurusan sampah sebegini semakin tidak popular.

Merujuk kepada laporan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat pada tahun 1997, Liu berkata pasaran insinerator semakin mengecil di Amerika, Eropah dan Jepun disebabkan beberapa faktor, termasuk perubahan dalam dasar dan peraturan kerajaan, serta bantahan orang awam yang semakin meningkat.