Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) belum dapat direalisasikan kerana pengamal media mempunyai pandangan yang berbeza, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Bagaimanapun, katanya, penubuhan itu akan diusahakan secepat yang mungkin apabila mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua pihak.

rais yatim pc 020709 01 "Dalam konteks membawanya di Parlimen di peringkat kini belum dirasai mendesak, kita ingin mendapat pandangan lanjutan daripada pengamal media mengenai bentuk yang harus difikirkan terlebih dahulu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai keperluan MMM terutama kewujudan media baru pada era teknologi dan kepesatan perkhidmatan jalur lebar termasuk penubuhannya menerusi perbentangan di Parlimen dalam usaha mentranformasi media.

Rais berkata, majlis itu merupakan satu forum yang akan merapatkan jalinan hubungan dan kerjasama antara kerajaan dan media serta dijadikan satu medium bagi kedua-dua pihak berbincang dan berkongsi pandangan selain bersama-sama merancang mengenai soal pembangunan media.

"Penubuhan MMM dijangka terdiri daripada semua industri kerajaan yang berkaitan, semua media massa termasuk media cetak, elektronik dan media baru, internet, bloggers, pertubuhan media dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

- Bernama