Rakyat dilarang mengkritik rancangan latihan khidmat negara?
Kedegilan kerajaan untuk menyegerakan Rang Undang-undang Latihan Khidmat Negara 2003 dalam Parlimen dikritik oleh pihak pembangkang dan golongan masyarakat madani. Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat semalam.
Dalam kenyataan akhbar yang berasingan, Pemuda DAP dan pertubuhan reformasi sosial Aliran turut mempertikai keputusan Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk hanya mendedahkan maklumat tertentu mengenai rancangan tersebut Jumaat lalu.
Kedegilan kerajaan untuk menyegerakan Rang Undang-undang Latihan Khidmat Negara 2003 dalam Parlimen dikritik oleh pihak pembangkang dan golongan masyarakat madani. Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat semalam.
Dalam kenyataan akhbar yang berasingan, Pemuda DAP dan pertubuhan reformasi sosial Aliran turut mempertikai keputusan Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk hanya mendedahkan maklumat tertentu mengenai rancangan tersebut Jumaat lalu.
Mereka berkata orang awam tidak diberi cukup masa untuk membahas implikasi undang-undang yang dicadang tersebut, termasuk peruntukan menghukum mereka yang menghasut tentangan kepada rancangan itu.
Klausa tidak demokratik
Pemuda DAP berkata kerajaan mesti mengeluarkan klausa dalam rang undang-undang tersebut yang melihat kritikan terhadap rancangan latihan khidmat negara itu sebagai satu jenayah.
Setiausahanya Loke Siew Fook berkata Seksyen 29(b) rang undang-undang tersebut jelas menyatakan bahawa sesiapa yang menghasut orang lain untuk membantah rancangan itu dianggap telah melakukan satu kesalahan. Hukuman yang dicadang ialah denda
RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Kami membantah sekeras-kerasnya klausa ini kerana ia tidak demokratik langsung dan adalah tidak adil menghukumi mereka yang tidak menyetujui pelaksanaan latihan khidmat negara," kata Loke.
Tambahnya, undang-undang tersebut sengaja diketatkan untuk mencegah orang ramai daripada membahas rasional rancangan tersebut. Interpretasi klausa itu juga terlalu meluas kerana tidak dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan "menghasut".
"Adakah ia melalui kenyataan awam, ucapan, memorandum atau demonstrasi? Ini bukan sahaja tidak demokratik, tetapi juga satu lagi langkah untuk menbendung kebebasan bersuara dalam negara ini," katanya.
Ibubapa juga dihukum
Kata Loke, hukuman keras terhadap remaja yang tidak mahu menjalani latihan khidmat negara merupakan satu lagi langkah untuk menolak bantahan terhadap rancangan ini.
"Di bawah Seksyen 18(1), 19(1) dan 19(2), remaja yang dipilih tetapi tidak hadir boleh menghadapi denda (maksimum) RM3,000 atau penjara selama enam bulan, atau yang kedua-duanya sekali. Begitu juga mereka yang cuba menghalang remaja yang dipilih daripada menghadiri latihan," katanya.
"Ini bermakna bukan sahaja remaja yang tidak mahu menjalani latihan ini akan dihukum, tetapi juga ibubapa yang tidak merestui anak mereka menjalaninya."
Di bawah rang undang-undang itu, semua individu yang dilahir selepas 1986 layak dipilih untuk menjalani latihan selama tiga bulan.
Pelatih akan diajar cara mengguna senjata asas, kedaulatan kebangsaan, maruah, dan menjalani kerja amal bersama agensi awam, pusat masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan.
'Langkah terburu-buru'
Sementara itu Aliran berkata kerajaan sepatutnya berunding dengan masyarakat dan membenarkan perbincangan awam sebelum membawa rang undang-undang itu ke Parlimen.
"Aliran amat khuatir kerana langkah terburu-buru kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang itu tanpa memberi ahli Parlimen dan masyarakat awam cukup masa untuk membahas cadangan itu.
"Hasil kajian empat jawatankuasa kecil kabinet mengenai kurikulum, kewangan, logistik dan undang-undang pun belum dibentangkan untuk perbincangan awam."
Kata Aliran, penukaran tumpuan kerajaan daripada meneguhkan pertahanan negara kepada menggalakkan integrasi negara, mewajarkan penilaian semula cadangan latihan khidmat negara.
"Jika kerajaan ingin mencegah keregangan etnik di kalangan remaja, fikirlah sama ada 'latihan khidmat negara' yang antara lain melibatkan latihan tentera, akan mencapai hajat itu," kata pertubuhan itu.
"Terdapat sebab terpendam mengapa polarisasi etnik berlaku dan ia tidak dapat diperbetulkan dengan memaksa remaja pelbagai kaum untuk bersama-sama menjalani latihan selama tiga bulan."
Aliran juga merujuk kepada kontradiksi terhadap konsep latihan khidmat negara, yang ditunjukkan oleh sistem politik negara yang dikuasai parti mono-etnik.
Di samping itu, katanya, kerajaan seharusnya menjelaskan maksud 'patriotisme' dan 'penyatuan negara' kerana kerajaan nampaknya tidak dapat membezakan ketaatan kepada negara dan ketaatan kepada kerajaan Barisan Nasional.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.