BERITA

MB jamin kilang proses nadir bumi Lynas selamat

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Mac 2011, 7:08 pagi

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memberi jaminan bahawa pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi milik Syarikat Lynas Corporation Ltd. dari Australia di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, adalah selamat dan tidak akan memberi kesan buruk kepada penduduk sekitar.

adnan yaakob and aziz mat kiram batu talam Katanya, kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan dan pandangan daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengenai tahap keselamatan penduduk terhadap kesan radioaktif atau radiasi dari kilang tersebut sebelum bertindak meluluskan tapak pembinaan kilang itu.

"Pembinaan kilang itu sengaja dijadikan isu politik oleh pihak tertentu yang didalangi pihak parti pembangkang,” katanya kepada pemberita di Kuantan.

Terdahulu, beliau dan semua pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri diberikan taklimat kali kedua daripada LPTA dan pakar tenaga atom yang diketuai Ketua Pengarah LPTA, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan.

Menurut Adnan, sebelum meluluskan permohonan daripada syarikat berkenaan pada tahun lepas, ia telah melalui beberapa proses yang ketat dan membabitkan beberapa badan teknikal daripada LPTA dan pihak-pihak yang berkaitan dengan nuklear.

"Kita berharap penduduk terutamanya di Kuantan tidak merasa panik atau gusar apabila kilang itu yang dijangka beroperasi pada September ini kerana ia tidak akan membebaskan radiasi dan membuang sisa-sisa air yang digunakan untuk memproses bahan tersebut tetapi air itu akan dikitar semula,” katanya.

NONE Semalam, kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan Parlimen kerana membantah pembinaan kilang pemprosesan bahan radioaktif itu.

Mereka yang mendakwa terdirinya daripada beberapa penduduk sekitar Kuantan dan aktivis termasuk dari badan-badan bukan kerajaan bimbang kemungkinan penyebaran sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek bernilai RM700 juta itu beroperasi kelak.

 - Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.