Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, hari ini mengingatkan bahawa negara ini mempunyai "terlalu banyak bank" sekarang.  

"Saya nampak terlalu banyak bank sekarang, tetapi tentu ada sebab (negara ini ada banyak bank). Saya tidak menjangkakan ada lagi lesen yang akan dikeluarkan," katanya semasa sesi soal jawab pada Siri Syarahan Tun Abdul Razak Keenam di kuala Lumpur hari ini.

Semasa tempoh perkhidmatannya, kata Daim, hanya ada empat bank peneraju dan itu sudah mencukupi bagi sistem kewangan negara.

Beliau mengingatkan bahawa hanya bank-bank besar dengan modal yang besar akan dapat bertahan jika berlaku satu lagi krisis ekonomi manakala yang kecil-kecil akan binasa.

"Krisis kewangan yang berlaku baru-baru ini menyaksikan banyak bank (di Amerika Syarikat) gagal, termasuk peserta besar seperti Citibank yang memerlukan langkah-langkah menyelamat," tegasnya.

- Bernama