SPRM diminta siasat kos 'tak munasabah'
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat kos penyenggaraan dan membaiki kenderaan Yayasan Selangor yang dilaporkan berjumlah RM6 juta sepanjang 11 bulan tahun lepas, satu angka yang dianggap tidak munasabah.
Ketika membuat saranan itu, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus, berkata jumlah itu terlalu besar kerana ia hanya membabitkan kerja membaik pulih dan penyenggaraan dan bukannya pembelian kenderaan baru.
Laporan Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor terhadap yayasan itu menyatakan sebanyak RM6,029,790 dibelanjakan sepanjang Januari hingga November 2010 untuk tujuan itu.
Abdul Shukor, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuang, berkata berdasarkan laporan audit berkenaan, kos penyenggaraan kenderaan Yayasan Selangor didapati meningkat dengan mendadak sejak sebuah syarikat mengambil alih kerja-kerja itu.
"Keadaan perlu diperbetulkan, dan jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan tiada lagi dana untuk membantu kebajikan dan pendidikan anak negeri yang berpendapatan rendah," katanya.
- Bernama

