Najib kali pertama makan serabai
Hujan renyai tidak menghalang orang ramai berpusu-pusu sekitar Bukit Gelugor di Georgetown bagi menyambut ketibaan rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama pemimpin-pemimpin BN negeri, yang membuat tinjauan mesra.
Najib yang dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang, hari ini mengadakan kunjungan mesra bertemu rakyat khususnya peniaga dan penduduk di pusat bandar George Town.
Dengan diiringi dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Tan Sri Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Najib tiba di Taman Tun Sardon, Bukit Gelugor, pada pukul 9.40 pagi.
Di pasar awam taman itu, selepas bersalaman dengan ribuan orang yang berpusu-pusu tiba untuk melihat kelibat pemimpin negara, Perdana Menteri kemudian menjamu selera dengan makanan tradisional 'serabai' bersama kuah kaya sebuah gerai makanan sini sebagai sarapan pagi.
Peniaga serabai, Jamaliah Hassan, 53, berkata beliau berasa amat teruja dengan kunjungan Perdana Menteri dan rombongan ke gerai Serabai Istimewa miliknya itu.
"Kunjungan ini adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali dan saya berasa bangga dapat menyediakan sarapan buat Perdana Menteri," katanya yang berniaga di gerai berkenaan bersama kakaknya sejak 19 tahun yang lalu.
"Datuk Seri (Najib) beritahu saya bahawa ini kali pertama dia makan serabai ini dan rasanya sungguh sedap dimakan dengan kuah kaya," katanya.
Rombongan Najib turut berkunjung ke pasar Jelutong untuk beramah mesra dengan peniaga di situ sebelum melawat flat di Padang Tembak dan flat di Kampung Melayu di kawasan Air Itam.
Di flat Air Itam, seorang warga emas Aminah Hashim, 62, yang berniaga nasi lemak sejak 20 tahun lepas di Astaka Penjaja di perumahan itu tidak dapat melindungi rasa terkejut dan gembira dengan kunjungan Perdana Menteri ke kediamannya pada kira-kira pukul 11 pagi.
"Makcik tidak sangka impian bertemu Perdana Menteri akan jadi kenyataan, selama ini hanya dapat tengok Datuk Seri (Najib) di kaca televisyen sahaja, hari ini beliau datang ke rumah dan bertemu makcik," katanya ketika ditemui pemberita.
Aminah yang tinggal bersama suaminya Rejap Raja, 64, dan empat anggota keluarga lain di rumah itu sejak 40 tahun lepas, turut menerima sumbangan wang tunai RM1,000 daripada Najib.
Terdahulu Najib turut meluangkan masa berjumpa dan beramah mesra dengan 258 pemilik gerai di astaka itu dan sempat menikmati hidangan nasi lemak dan air kopi di gerai 118 milik Ah Beng.
Ketibaan Najib ke kawasan perumahan itu disambut meriah oleh penduduk setempat yang turut memberikan tepukan gemuruh sambil melaungkan '1Malaysia' dan ucapan
terima kasih kerana sudi melawat kawasan perumahan mereka.
Perdana Menteri sempat melayan telatah kanak-kanak di kawasan berkenaan yang ingin bergambar dan meminta tandatangan pemimpin nombor satu negara itu.
Dalam lawatan Najib ke flat Kampung Melayu pula, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan wang ehsan RM500 kepada dua warga emas yang msikin.
- Bernama

