Persidangan ulama kebangsaan yang akan diadakan bulan depan akan memfokuskan kepada kekuatan dan kelemahan institusi ulama sebagai penggerak kepada perubahan keadilan dan kesjahteraan masyarakat.

Persidangan anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Persatuan Ulama Kedah (PUK) yang akan diadakan pada 5 Julai depan, turut menjemput semua parti politik dari kerajaan dan pembangkang.

Menurut kenyataan Yang Dipertua PUM, Syeikh Haji Abu Bakar Awang, jemputan itu dibuat melalui biro agama atau dewan ulama parti masing-masing.

Turut dijemput ialah para mufti, Ketua-ketua Hakim Syarie dan yang dipertua Majlis Agama Islam negeri-negeri, guru agama dan kesemua imam di Kedah.

Katanya, Sultan Kedah berkenan untuk berangkat merasmikan persidangan itu yang diadakan dengan persetujuan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (Jaik) di Dewan Darul Aman, Alor Star, Kedah.

"Persidangan ini bertujuan mengukuhkan kesatuan dan pengemblengan umat Islam sama ada dari golongan pentadbir, ulama, rakyat dan di kalangan umat Islam di negara ini dan serantau dalam usaha meningkatkan martabat dan kekuatan umat Islam.

Perkasakan ulama

Menurutnya, apa yang mahu dicapai menerusi persidangan itu ialah pembinaan institusi ulama yang berwibawa dan bertrampilan yang berfungsi sebagai pembimbing masyarakat.

Katanya, ia juga bermatlamat untuk memperbaiki dan memperkukuhkan lagi perpaduan di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

Syeikh Abu Bakar berkata, ianya termasuk menggembleng tenaga di antara persatuan agama sama ada Islam atau lain-lain dalam menangani bersama gejala sosial yang sedang melanda remajadi negara ini.

Selaras dengan itu, wakil persatuan agama Buddha, Kristian dan Hindu telah memberi persetujuan untuk turut menghadiri majlis perasmian persidangan tersebut.

Tujuh kertas kerja yang memberi fokus kepada usaha memperkasakan institusi ulama yang dibentangkan di persidangan itu.

Antara pembentang kerja itu ialah Mufti Terengganu, Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, Yang Dipertua PUM, Haji Abdul Ghani Samsudin, Naib Yang Dipertua PUK, Syeikh Haji Niamat Yusof dan Dr Adnan Husaini dari Majlis Ulama Indonesia.

Mereka yang berminat untuk menghadiri persidangan tersebut boleh menghubungi pejabat sekretariat melalui talian 04-4571712 atau 04-4573243 atau emel sgpau76@yahoo.com. Pendaftaran adalah percuma.