Umno bersedia menerima semula Ketua Pemuda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor tanpa sebarang syarat, kata naib presidennya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib

Beliau memberitahu malaysiakini , pucuk pimpinan Umno tidak mempunyai masalah menerima Mohd Ezam semula sekiranya pemimpin pemuda itu menyokong perjuangan parti itu.

"Jika beliau rasa beliau hanya membuang masanya di sana (parti Keadilan) dia boleh kembali kepada Umno dan kami tidak akan mengenakan apa-apa syarat terhadapnya," kata Muhammad ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang dakwaan Ezam bahawa beliau telah " dilamar " oleh pemimpin tertinggi Umno yang memujuknya untuk kembali kepada Umno, Muhammad berkata beliau tidak tahu menahu tentang perkara tersebut.

"Apa yang dia kata mungkin benar, mungkin tidak. Saya tidak tahu pun ada pemimpin Umno yang mengejarnya. Tapi jika beliau mahu kembali ke Umno, kami terima. Kami terima sesiapa sahaja yang mahu kembali kepada kita," katanya lagi.

Muhammad juga berkata, beliau tidak tahu mengapa Ezam membuat dakwaan tersebut. Ezam membuat dakwaan itu Khamis lalu dalam ucapan pertamanya selepas dibebaskan daripada tahanan ISA dan dibenarkan ikatjamin bagi kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Mungkin dia mahu mendapatkan simpati dengan memberitahu bahawa ramai orang hadap untuknya... mungkin...saya tak tahu," katanya lagi.

Pintu terbuka

Muhammad juga menekankan bahawa Umno tidak mempunyai budaya 'kesetiaan kepada individu' kerana ianya tidak memberi apa-apa manfaat.

"Di sini (Umno) kita setia kepada parti, bukan kepada pemimpin tertentu. Mereka yang setia kepada pemimpin tertentu, datang dan pergi, tetapi kami yang setia kepada partilah yang masih berjuang dalam parti. Jadi, pintu kami terbuka kepada sesiapa yang mempunyai prinsip yang sama," katanya lagi.

Ini terbukti, katanya, apabila sebahagian besar ahli pari Semangat 46 diterima dengan balik oleh pucuk pimpinan Umno.

Khamis lalu, Ezam mendakwa tawaran untuknya kembali semula kepada Umno, telah dibuat melalui keluarga dan peguamnya sepanjang tahanannya di pusat tahanan Kamunting dan Penjara Kajang.

Ezam juga berkata, ada di kalangan orang Umno yang memberitahunya mereka kagum dengan prinsipnya menentang rasuah dan menawar untuk memberi dokumen mengenai pelakuan rasuah pemimpin Umno

Sejak dibebaskan dari tahanan ISA pada awal bulan lepas, tersebar khabar angin yang melibatkan Ezam dan Umno, mengenai kemungkinan ketua Pemuda Keadilan itu menyertai semula Umno.

Bagaimanapun khabar angin ini dinafikan oleh Keadilan dan pergerakan Pemuda Umno Malaysia .