Bekalan air di bandar Pasir Puteh terputus buat kali kedua sejak tiga hari lepas menyebabkan kesukaran pelbagai pihak terutama pengurusan Hospital Tengku Anis.

Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Tengku Anis Datuk Che Min Che Ahmad berkata ketiadaan bekalan air itu menyulitkan pihak hospital untuk merawat pesakit seperti klinik bersalin dan rawatan Hemodialisis.

"Jika bekalan tidak dapat dipulihkan dalam tempoh terdekat ini, ia akan menjadi masalah besar kepada pesakit kronik yang sedang mendapat rawatan di hospital itu kerana air yang dibekalkan AKSB melalui tangki bergerak tidak mencukupi," katanya kepada Bernama .

Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Kawasan Parlimen Pasir Puteh Zawawi Othman pula menuntut syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memulihkan bekalan air dengan segera.

"Kegagalan AKSB banyak menyusahkan sebahagian 11,500 penduduk Pasir Puteh sehingga ada yang terpaksa mengambil tayamum setiap kali mengerjakan solat," katanya.

Kemelut bekalan air di Pasir Puteh bermula awal bulan ini dan pada 7 April lepas, lebih 200 penduduk mengadakan demontrasi mendesak agar masalah itu diselesaikan segera.

AKSB hanya dapat memulihkan bekalan selama dua hari selepas demontrasi itu diadakan.

Sementara pihak AKSB ketika ditemui di Pasir Puteh hari ini, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

- Bernama