Ketua Pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor berkata berapa pihak dari Umno yang membuat tawaran kepadanya supaya kembali semula ke pangkauan Umno adalah tidak ikhlas dan mereka berbuat demikan semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik masing -masing.

Oleh kerana itu, Ezam menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk melayan tawaran-tawaran tersebut, apatah lagi untuk kembali semula kepada Umno.

Dalam satu wawancara dengan malaysiakini semalam, Mohd Ezam menegaskan bahawa beliau tidak pernah memberi apa-apa reaksi balas kepada tawaran-tawaran yang dibuat itu.

"Apa yang berlaku adalah tawaran dibuat. Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, rundingan tidak pernah berlaku. Saya tidak boleh menghalang sesiapa daripada membuat tawaran, lebih-lebih lagi ketika saya dalam tahanan, tapi saya tidak pernah memberi apa-apa reaksi balas," katanya lagi.

Bagaimanapun, Mohd Ezam berkata, beliau tidak akan menutup pintu kepada sesiapapun yang mahu berbincang tentang politik negara kerana beliau percaya, dalam mencari penyelesaian politik, semua pandangan harus diambilkira.

"Akan tetapi...mereka (yang membuat tawaran) ini tidak ikhlas dalam mencari penyelesaian kepada masalah negara, seperti isu demokrasi dan sebagainya. Mereka lebih berminat dengan menyelesaikan masalah mereka dan mempertahankan jawatan mereka, sedangkan pada saya, ia soal sampingan," katanya lagi

Beliau juga percaya tawaran itu dibuat kerana pergolakan kuasa di dalam Umno yang sedang menjalani proses peralihan kuasa dari Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Agenda reformasi

Daripada utusan-utusan yang diterima, Mohd Ezam berkata, amat jelas Umno sekarang terbahagi kepada kumpulan yang menyokong Abdullah atau Pak Lah dan mereka yang menyokong naib presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya diberitahu (ketua pemuda Umno, Datuk) Hishamuddin (Hussein) sekarang berat kepada team Najib, jadi mereka perlukan saya untuk memperkuatkan angkatan pemuda mereka pula," tambahnya.

Beliau menegaskan beliau tidak pernah berminat dengan budaya politik yang diamalkan dalam Umno di mana pemimpin lebih pentingkan kedudukan mereka, sedangkan beliau (Ezam) sangat komited dalam agenda reformasi.

"Saya tidak pernah dan tidak akan berganjak walaupun seinci dari fokus saya terhadap reformasi. Saya dulu masuk Umno pun dengan agenda ini kerana saya percaya Anwar Ibrahim membawa agenda reformasi.

"Saya keluar dari Umno pun dengan membawa agenda ini juga kerana saya tidak percaya agenda ini tidak dapat diteruskan lagi setelah apa yang yang terjadi pada Anwar," katanya lagi.

Namun begitu, Mohd Ezam mengakui tawaran untuk menyelesaikan segala masalah mahkamah, kewangan dan politik yang dihadapinya itu, telah benar-benar menduga komitmen perjuangannya.

"Saya hanyalah manusia biasa. Kelemahan saya adalah anak-anak saya yang sentiasa bertanya bila saya mahu pulang. Memang sedih... Saya tahu jika saya terima tawaran tersebut, saya boleh terus pulang. Tapi...Alhamudillah saya dapat menahannya dan hingga kini saya tidak pernah memberi apa-apa komitmen kepada mana-mana tawaran," katanya lagi.

Masalah demokrasi

Apabila ditanya jika tawaran itu ada melibatkan pembebasan Anwar, yang kini menjalani 15 tahun hukam penjara atas kesalahan meliwat dan salahguna kuasa, Mohd Ezam berkata tidak ada satu tawaran pun yang boleh menunjukkan pendirian mereka tentang isu Anwar.

"Saya kira mereka merasakan jika Anwar dibebaskan, ianya lebih banyak merugikan daripada menguntungkan," katanya lagi.

Beliau juga percaya bahawa isu Anwar dan masalah demokrasi negara tidak akan selesai jika Abdullah menjadi perdana menteri kelak.

"Abdullah telah gagal membuat apa-apa tindakan positif yang boleh meningkatkan kepercayaan rakyat kepada komitmen kerajaan menjaga hak asasi dan keadilan. Walaupun beliau sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk melakukan itu semua, beliau tidak melakukannya," katanya.

Menurut Ezam lagi, pembebasannya dan lima lagi tahanan ISA, tidak ada kena mengena dengan Abdullah dan beliau percaya timbalan perdana menteri itu yang juga menteri dalam negeri hanya menjalankan arahan daripada Dr Mahathir.

"Kami diberitahu, Dr Mahathir telah mengarahkan pembebasan kami sebelum beliau berlepas ke Persidangan G8 di Perancis," katanya.

Malah, Ezam mendakwa, Abdullah telah menggunakan pihak cawangan khas untuk cuba meneruskan tahanan mereka dan ini dibuktikan melalui laporan cawangan khas yang tidak menyokong pembebasan kami.