Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishammuddin Tun Hussein menegaskan pemimpin pergerakan itu tidak pernah dihalang daripada bertanding merebut sebarang jawatan, termasuk jawatan yang disandangnya.

Katanya, selaras dengan amalam demokrasi dalam parti setiap pemimpin berhak bertanding merebut jawatan tersebut dan keputusannya akan ditentukan oleh perwakilan.

"Saya percaya dalam Umno perkara ini satu perkara biasa dan membuktikan wujud demokrasi dalam parti," tambahnya.

Bernama

melaporkan beliau sebagai berkata, perkara itu bukan sesuatu yang ganjil kerana pemimpin dan ahli sudah memahami bahawa para perwakilan yang memilih calon untuk sesuatu jawatan dalam parti.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Megat Junid Megat Ayub bahawa jawatan Ketua Pemuda Umno bebas ditandingi mana-mana pemimpin parti dalam pemilihan tahun depan.

Ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pelajar Kolej Tuanku Ja'afar di Mantin, Negeri Sembilan, Hishammuddin berkata beliau sudah menjangka spekulasi mengenai pertandingan merebut jawatan yang disandangnya itu sejak tiga atau empat bulan lalu.

Hentikan spekulasi

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dilaporkan akan mencabar Hishammuddin dalam pemilihan parti tahun depan.

Bagaimanapun, Hishammuddin menasihatkan pemimpin dan ahli Pemuda Umno supaya menghentikan spekulasi itu dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada tugas yang lebih penting kepada parti dan bukannya individu.

Ditanya mengenai kemungkinan adanya dalang yang sengaja menimbulkan spekulasi itu, Hishammuddin berkata beliau tidak tahu mengenainya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, spekulasi seperti itu tidak akan mengeruhkan keadaan parti, khususnya dalam pergerakan Pemuda.

"Bagi saya pemilihan dalam Umno jauh lagi dan saya harap mereka (anggota Pemuda) memberi tumpuan kepada tugas-tugas terdekat yang lebih penting," katanya.

Ditanya sama ada ada pemimpin yang mencabarnya dan beliau akan bertanding jawatan naib presiden, Hishamuddin berkata: "Itu juga satu spekulasi".